Sekumpulan aktivis anti-Zionis hari ini berhimpun di Putrajaya bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan menyekat kemasukan atlet Israel dalam acara sukan di Kuching, Julai ini.

Kira-kira 40 peserta berhimpun di Dataran Masjid Putra dengan membawa pelbagai sepanduk anti-Zionis, sebuah gerakan untuk menubuhkan negara Yahudi di kawasan Palestin.

Dalam perhimpunan itu, aktivis Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan sokongan penuh terhadap keputusn kerajaan untuk melarang atlet Israel masuk ke Malaysia dalam Kejohanan Sukan Para Dunia 2019 yang sebelum ini dijadual dilangsungkan di Kuching, Sarawak.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) kemudian menggugurkan Malaysia selaku tuan rumah ekoran larangan itu.

“Kerajaan berpendirian tegas dan tidak berkompromi dengan Israel yang sedang cuba menekan Malaysia melalui platform antarabangsa.

“Kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menekan IPC untuk membatalkan Malaysia sebagai tuan rumah," katanya lagi, yang berkata semua negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam sepatutnya mencontohi ketegasan Malaysia.

Beliau menggesa kerajaan menyemak semula perdagangan langsung atau tidak langsung dengan Israel, termasuk perdagangan dalam bentuk perkhidmatan dan barangan dan kerjasama teknologi.

Rakyat Malaysia pula diseru memboikot semua barangan dan perkhidmatan Israel.

Perhimpunan berlangsung secara aman dengan keadaan cuaca sederhana panas, dengan para peserta melaungkan takbir dan slogan mengecam Israel, sebelum bersurai kira-kira sejam kemudian.