Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC tetap nak bertanding di Cameron Highlands PRU akan datang

MIC berkata mereka tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden MIC S Vigneswaran berkata, ini kerana kerusi itu tetap milik parti itu dan hanya dipinjamkan kepada BN untuk PRK lalu.

"Seperti saya kata sebelum kami meminjamkan kerusi itu kepada BN. Kami dalam BN mempunyai persefahaman mengenai ‘pinjaman’ ini.

"Walaupun kerusi itu kini dimenangi calon BN Ramli Mohd Nor...Pada PRU akan datang MIC akan bertanding di sana," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada PRU ke-14, kerusi itu dimenangi Naib Presiden MIC C Sivarraajh sebelum Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangannya ekoran rasuah.

Pada PRK lalu, kerusi itu ditandingi Ramli yang tidak menganggotai mana-mana parti dalam BN dan meanng dengan majoriti 3,238 undi.

Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara berkata keputusan BN menurunkan calon berwibawa dalam PRK itu adalah tepat.

"Mungkin Umno juga akan kalah jika bertanding di Cameron Highlands. Sebenarnya calon yang tepat memastikan kejayaan BN.

"Kita tak boleh lagi memilih calon yang bergelar 'kingmaker' dan 'warlord tempatan'. Saya harap Umno akan pilih calon yang sesuai untuk PRK Semenyih nanti," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS