Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan adalah kurang tepat untuk mengatakan beliau sejak memegang jawatan itu menjadi orang kuat kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagaimana spekulasi sesetengah pihak.

Laporan Astro Awani malam tadi memetik Amirudin berkata pemilihannya sebagai menteri besar ketika itu dibuat Sultan Selangor dan mendapat restu PKR.

"Bercakap bahawa saya pilihan Datuk Seri Azmin, benar, tetapi separuh masak ataupun separuh benar, ataupun kurang tepat.

"Yang tepat, ialah saya adalah sebahagian yang dipilih oleh dua orang dan akhirnya dipilih atas kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor) dan restu parti," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tanggapan tersebut muncul kerana berkecimpung dalam cabang PKR Gombak yang pernah diketuai Azmin.

"Selamanya orang menganggap saya ini orang Azmin Ali dan memang saya daripada cabang Gombak, bekas ketua cabang saya adalah Azmin dan sekarang saya mewarisi kerusi menteri besar daripada Azmin dan saya pegang kerusi cabang Gombak di atas restu saudara Azmin Ali,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PH Selangor melepaskan jawatan menteri besar yang disandangnya berikutan pelantikan beliau sebagai menteri hal ehwal ekonomi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas PH berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Amirudin yang juga Adun Sungai Tua mengangkat sumpah memegang jawatan menteri besar pada 18 Jun 2018.