Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kejayaan calon BN dari suku Orang Asli, Ramli Mohd Nor, dalam PRK Cameron Highlands mencerahkan taawun PAS-Umno boleh dimulakan sebagai strategi bersama menghadapi PRU ke-15.

Setakat ini strategi PAS untuk mana-mana PRK hingga PRU ke-15 ialah satu lawan satu.

Ia telah dilaksanakan sepanjang PRK selepas PRU ke-14 dan jerat itu sudah mengena di Cameron Highlands.

Formula yang PAS pakai untuk menyokong calon BN ialah Islam memimpin, satu rahmat yang Allah beri sejak sekian lama.

Apakah ia dinyatakan secara terang atau sir (sembunyi-sembunyi), tengok hikmatnya. Rasulullah SAW menyebarkan Islam di Mekah secara sir dulu. Hari pertama Umar al-Khattab menerima Islam, ia tidak sir lagi.

Ingat beberapa ketika Allah mewahyukan dakwah terbuka.

Semua itu perkembangan zaman assabiqun iaitu kumpulan pertama menerima Islam. Mesej yang baginda dan assabiqun bawa ialah Islam memimpin. Itulah yang dicapai di Madinah.

PAS tubuh kerajaan

Ia formula yang PAS perkenalkan di muktamar di Terengganu beberapa bulan belum disyaratkan kepada Umno. Dakwah itu dipercayai sudah tiba.

Itulah pegangan setiap agama, satu-satunya diterima di sisi Allah. Jangan was-was berpegang dengan formula Allah.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan analisis Dr Kamarul Zaman Yusoff dari UUM, jika Umno dan PAS bertaawun dalam PRU ke-14 dulu, PH tidak dapat menawan Putrajaya, dan Anwar Ibrahim pun tak terampun lagi.

Taawun PAS-BN boleh meraih 126 kerusi parlimen, menyapu bersih empat negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis - serta mendapat majoriti dua per tiga di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Johor dan lain-lain.

Mustafa Ali

Setahun sebelum PRU ke-14 - setelah lama tidak bertemu Cikgu Mustafa Ali - kami bermotokar jauh. Dia tanya saya tentang kemungkinan PAS-Umno bertaawun semasa PRU.

Dia yakin jika ada taawun, BN-PAS mungkin boleh tubuh kerajaan dengan majoriti dua per tiga.

Saya terkejut lontaran itu datang daripada Mustafa. Kami bercakap panjang tentang pro dan kontranya.

Saya tidak tolak ia boleh dicapai. Jika taawun ada, andaian itu tidak mustahil. PAS mungkin dapat membentuk kerajaan bersama BN.

Tapi yang payah bukan memenangi PRU, sebaliknya taawun itu payah dicapai.

Risiko tetap ada pada PAS. Jika risiko itu rendah, kalah menang tidak banyak kesan dan untungnya. Lagi tinggi risikonya lagi besar padah atau lebih besar pula untungnya.

PH tak tawan Putrajaya

Semua percaya tidak susah bagi Najib Razak menerima taawun kerana memang dia berkehendak sangat perkiraan itu. Dia dipercayai orang tahu betul-betul isi dan luaran politik kerajaannya.

Yang menghalang taawun itu - jika dipersetujui oleh PAS - ialah kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dan Umno Kelantan pimpinan Mustapa Mohamed.

Perpecahan PAS dengan Pakatan Rakyat dan pergolakan dalaman PAS sehingga ada yang membentuk parti bagi menggantinya dalam kerjasama pembangkang adalah peluang terbaik bagi Umno menebus kekalahannya selama 28 tahun di Kelantan.

Dalam keadaan pertandingan tiga penjuru, dikira PAS tidak dapat mempertahankan kuasanya. Maka BN yang dikira gagah lagi akan dapat membentuk kerajaan di Kelantan.

Itu penghalang taawun payah dicapai.

Dan masalah besar yang PAS hadapi ialah taawun pada masa itu akan mengekalkan Najib sebagai perdana menteri. Ia adalah perkara payah yang terpaksa PAS pikul.

Jika beberapa perkara itu PAS dapat atasi dan Najib juga dapat atasi, Putrajaya tidak akan terlepas kepada PH.

Dengan semua kepayahan itu PAS mengambil jalan tengah. BN tidak PH pun tidak. Seperti barat tidak, timur pun tidak, tapi Islam di tengah. Taawun pilihan terbaik menghadapi PH.


SUBKY LATIF ialah veteran PAS dan bekas wartawan. Tulisan ini asalnya disiarkan harakahdaily dengan judul "Formula taawun, Islam memimpin."

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS