Seorang pemimpin MIC meramalkan hayat gabungan PH hanya mampu bertahan selagi Dr Mahathir Mohamad menyandang jawatan perdana menteri.

Menurut Presiden MIC, S A Vigneswaran, PH kekal bertahan sebagai kerajaan kerana Mahathir mempunyai pengalaman sebagai perdana menteri selama lebih dua dekad sebelum ini.

"Sekiranya Mahathir berundur maka PH tidak akan mampu berfungsi lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum PRU ke-14 parti yang bergabung dalam PH menerima persefahaman bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri jika BN berjaya ditumbangkan.

Untuk rekod sebelum itu calon untuk mengisi jawatan perdana menteri dalam kalangan parti PH ialah Anwar Ibrahim.

Melalui persefahaman dicapai sebelum PRU ke-14 itu, Anwar dipersetujui dilantik menggantikan Mahathir pada masa yang ditetapkan.

Mahathir pernah mengesahkan beliau akan berundur dalam tempoh dua tahun bagi memberi ruang kepada Anwar - yang merupakan anggota parlimen Port Dickson - menggantikannya.

Ada ahli fasih Mandarin

Sementara itu Vigneswaran mengesahkan MIC tidak mempunyai sebarang strategi baru bagi menghadapi PRK Semenih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

"Strategi kami adalah marahkan kerajaan PH. Tak ada strategi lain," katanya sambil ketawa.

Menjelaskan lagi hal itu, speaker Dewan Negara itu berkata MIC akan menggunakan membangkitkan kelemahan PH dalam masa sembilan bulan menjadi kerajaan agar pengundi Semenyih memilih pembangkang pada PRK berkenaan.

"Dulu mereka (PH) marahkan kami sebab tak buat itu dan ini. Sekarang kami balas balik," tambahnya lagi.

Beliau turut menamakan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan sebagai Pengarah Strategik MIC untuk PRK Semenyih.

"MIC sedang mengenal pasti anggota parti yang berwibawa untuk berpidato serta berceramah membantu kempen di Semenyih.

"Malah, kami juga mengenal pasti beberapa ahli yang fasih berbahasa Mandarin untuk dibawa ke sana," katanya lagi.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan 16 Feb sebagai hari penamaan calon, manakala 26 Feb hari untuk pengundian awal.

Kerusi tersebut mempunyai 54,503 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.