Malaysiakini BERITA

Clare puas hati, rencana SR dipertikai PAS tidak terusik

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, berkata dia berpuas hati dengan penyelesaian luar mahkamah dalam saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadapnya.

Memberitahu Malaysiakini, Clare berkata, dengan penyelesaian itu juga rencana yang disiarkan portal Sarawak Report mengenai PAS dan disaman Abdul Hadi itu kekal dan tidak ditarik balik.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan membantu saya dalam cubaan PAS membuli melalui undang-undang ini.

"Saya tidak berganjak. Rencana terbabit kekal disiarkan dalam talian serta tidak diubah walaupun ada cubaan menutup mulut saya dan memperlecehkan saya sebelum PRU lalu," katanya.

Menurut Clare dia berpuas hati dengan penyelesaian tersebut walaupun sebenarnya berharap dapat bersemuka dengan pihak yang menyamannya di mahkamah.

Sarawak Report ialah portal yang mula-mula membongkar skandal 1MDB dan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada 6 Ogos 2016 ia mendakwa Najib menarik sokongan PAS kepada Umno dan BN dengan menyalurkan dana berjumlah RM90 juta beberapa pemimpin kanan parti berkenaan.

Anggap kemenangan penuh

PAS menafikan dakwaan tersebut dan memulakan proses perundangan bagi menyaman Clare.

Abdul Hadi mengemukakan saman di sebuah mahkamah di London pada 21 Apr 2017.

Hari ini setiausaha politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, menyatakan Abdul Hadi bersetuju untuk mendapatkan penyelesaian luar mahkamah terhadap samannya kepada Clare.

“Setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan oleh beliau terhadap Clare Rewcastle Brown (defendan) dari semua aspek, dan juga setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam beliau, dimaklumkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London," katanya dalam suatu kenyataan.

Menurut Syahir penyelesaian dibuat itu membabitkan Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap Clare, editor Sarawak Report itu pula menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.


Baca Hadi yakin menang saman Sarawak Report


“Tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan terma-terma berkaitan penyelesaian ini,” katanya.

Menurut Clare dia menganggap penyelesaian tersebut sebagai suatu "kejayaan dan kebenaran penuh" di pihaknya.

Bagaimanapun Clare menegaskan dia tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian tersebut kerana terikat dengan persetujuan mengenainya.

Pada 3 Jan lalu Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PAS Idris Ahmad membuat rayuan kepada anggota dan penyokong parti itu supaya menghulur derma bagi membantu menyelesaikan kos guaman saman Abdul Hadi itu.

"Minta tolong sangat-sangat. Bantuan untuk bayaran guaman saman Sarawak Report. Perlu RM400,000 lagi. Dalam masa dua minggu mesti jelaskan kepada peguam di UK.

"Wang terkumpul sekarang RM69,000. Perlu lagi RM331,000," katanya.

Kurang dari seminggu kemudian Bendahari PAS Razman Zakaria mengesahkan mereka berjaya memungut lebih RM500,000 atau lebih daripada sasaran awal.

"Alhamdulillah sambutan menggalakan, hasil kutipan melebihi sasaran," katanya.