Malaysiakini BERITA

Perlu RM400,000 tapi PAS dapat RM500,000 namun...

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan

Kurang dari seminggu selepas ia dilaporkan, PAS berjaya mencapai matlamat memungut RM400,000 bagi membiayai kos guaman untuk saman ke atas Sarawak Report.

Malah berdasarkan kenyataan Bendahari PAS Razman Zakaria jumlah yang dipungut setakat ini melebihi jumlah yang diperlukan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Razman berkata PAS berjaya mengumpul lebih setengah juta ringgit daripada sumbangan anggota parti dan pihak lain.

Kata Razman hasil kempen kutipan dana selama dua minggu itu jumlah yang diperolehi melepasi sasaran yang diperlukan buat masa ini.

"Alhamdulillah sambutan menggalakan, hasil kutipan melebihi sasaran.

"Kita perolehi lebih RM0.5 juta dalam tempoh dua minggu," katanya hari ini.

Untuk rekod rayuan PAS itu dilaporkan Malaysiakini pada 3 Jan lalu.

Berdasarkan kenyataan Naib Presiden PAS Idris Ahmad PAS memerlukan dana sebanyak RM400,000 bagi menyelesaikan kos guaman saman dengan Sarawak Report.

Naib presidennya, Idris Ahmad berkata, bayaran tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh dua minggu kepada peguam di United Kingdom.


Baca Hadi yakin menang saman Sarawak Report


"Minta tolong sangat-sangat. Bantuan untuk bayaran guaman saman Sarawak Report. Perlu RM400,000 lagi. Dalam masa dua minggu mesti jelaskan kepada peguam di UK.

"Wang terkumpul sekarang RM69,000. Perlu lagi RM331,000," katanya dalam satu kenyataan awal Jan ini.

Sebelum ini PAS melalui presidennya, Abdul Hadi Awang mengambil tindakan undang-undang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London pada 21 Apr 2017.

Ia berkaitan laporan portal itu pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata dana untuk kos saman tersebut masih banyak diperlukan pada masa hadapan.

"Selagi kes berjalan, kita masih perlukan banyak dana sehinggalah kes selesai, " jelasnya ringkas.