NGO wanita: Pindaan akta, bukan kod etika berpakaian
Beberapa NGO hak wanita hari ini berkata garis panduan etika berpakaian bagi sektor swasta tidak perlu kerana isu berkenaan boleh ditangani dengan akta lain.
Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dalam kenyataan media hari ini mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia sebelum ini bahawa garis panduan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Menurut kementerian, kod berpakaian itu bertujuan menangani diskriminasi terhadap wanita muslim yang memakai tudung.
"Kami percaya bahawa diskriminasi seperti itu boleh ditangani dengan pindaan Akta Pekerjaan yang akan dibuat, Ordinan Buruh Sabah dan Akta Hubungan Industri," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu mendapat sokongan lapan pertubuhan wanita iaitu All Women's Action Society, Association of Women's Lawyer, Perak Women for Women Society, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor, Women's Aid Organisation, Sisters in Islam, Sarawak Women for Women Society, dan Justice for Sisters.
Tambah kenyataan itu, pindaan terhadap akta berkenaan akan menyentuh tentang perlindungan daripada diskriminasi gender dan agama.
"Pindaan ini sedang dalam proses dan dijangka dibentang dalam masa terdekat," katanya.
Kumpulan NGO itu juga menyatakan kebimbangan kod etika berpakaian berkenaan akan meminggirkan golongan muslim dan wanita yang memilih untuk tidak mematuhi kod berpakaian yang ditentukan.
"Dan sebaliknya akan menyebabkan mereka mendapat tekanan sosial, gangguan dan diskriminasi," katanya.

