Meskipun kini menjalinkan kerjasama dengan Umno selaku blok pembangkang, PAS tidak meminggirkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan rakan komponennya yang lain dalam Gabungan Sejahtera.
Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata demikian dan menegaskan bahawa parti itu masih berkongsi pentas dengan Umno dalam membawa aspirasi rakyat seperti yang diperjuangkan Ikatan.
"Pemuda Ikatan bersama-sama Dewan Pemuda PAS dan Pemuda Berjasa misalnya, dalam apa juga program politik dan aktiviti anak muda sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga ke hari ini.
"Selepas PRU ke-14, kami masih bersama-sama berkempen untuk calon pembangkang di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini apabila berkongsi satu pentas mewakili suara pembangkang.
"Malah kita bersama-sama Pemuda Gagasan Sejahtera dan Pemuda Umno telah terlibat secara langsung di dalam program-program penting seperti Himpunan ICERD, forum ekonomi dan belanjawan 2019, ceramah bergerak peringkat negeri dan turut menyantuni Muktamar PAS serta Perhimpunan Agung Umno.
"Sememangnya dua parti tunjang negara, PAS dan Umno mempelopori dunia politik tanah air, tetapi penghargaan diucapkan kepada sahabat saya, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS yang sentiasa memberikan peluang untuk Pemuda Ikatan bersama-sama menyumbang idea dan tenaga demi kekuatan ummah anak muda di dalam Gagasan Sejahtera," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
'Bukan mahu dampingi parti kerajaan'
Oleh itu, katanya tiada isu yang mengatakan Ikatan dipinggirkan PAS sehingga terpaksa menghimpit parti-parti dalam kerajaan hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan terdapat cubaan oleh pimpinan parti itu untuk membawa Ikatan menyertai Bersatu, namun 'lamaran' itu ditolak.
Usaha berkenaan dilaporkan menemui jalan buntu apabila 'pinangan' daripada parti kecil tersebut tidak mendapat sambutan seperti diharapkan daripada pucuk pimpinan Bersatu.
Sumber memberitahu Malaysiakini, usaha membawa Ikatan menyertai Bersatu digerakkan sendiri oleh presiden parti terbabit, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
"Tiga kali pertemuan berlangsung (dengan Bersatu), namun kesemuanya menemui jalan buntu," kata sumber.
Untuk rekod Ikatan pernah membentuk kerjasama dengan PAS dan Berjasa menjelang PRU ke-14 lalu lalu bagi membentuk kumpulan digelar sebagai blok ketiga.
Sementara itu, Shahir menegaskan bahawa perjuangan parti adalah untuk menyemak dan mengimbangi dasar-dasar kerajaan pada hari ini.
"Ikatan akan terus menegur apa jua kepincangan yang berlaku dalam dasar-dasar pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang didokong oleh DAP serta parti-parti lain seperti PKR, Amanah dan Bersatu.
"Adalah jelas bahawa Ikatan bukanlah parti yang mendampingi parti kerajaan yang berkuasa semata-mata.
"Bukti- bukti teguran terhadap dasar kerajaan PH oleh Dewan Pemuda Ikatan boleh diperolehi di dalam siaran media," jelas beliau.
