Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin jadi pengerusi MTNg K'tan: Bersatu terima, PKR tak kisah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menerima pelantikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg), negeri itu.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Noor berkata, keputusan pelantikan itu tidak perlu diperdebatkan kerana ia diputuskan oleh pimpinan tertinggi dalam kerajaan persekutuan.

"Kita punya pendirian sangat mudah, kita terima keputusan yang dibuat oleh kerajaan atau kabinet. Yang penting bagi kita agensi itu berperanan untuk membantu rakyat Kelantan.

"Yang penting bagi memastikan projek pembangunan untuk manfaat rakyat dapat diteruskan dengan baik

"Soal siapa yang dipilih oleh perdana menteri untuk ketuai agensi itu kita serah kepada kebijaksanaan dan budi bicara beliau, ia adalah hak perdana menteri saya tak fikir keputusan itu tidak perlu diperdebatkan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Mohamed Azmin yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi untuk mengetuai MTNg Kelantan.

Susulan itu, Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mengadakan mesyuarat membincangkan pelantikan berkenaan dan seterusnya sepakat meminta ia dikaji semula memandangkan negeri itu diterajui Amanah.

Ambil kita pandangan pemimpin tempatan

Mengulas perkara itu, Kamaruddin berkata, pandangan yang dikemukakan oleh Amanah Kelantan perlu dirai dan mereka mempunyai hak untuk bersuara.

Namun katanya, keputusan yang dibuat itu pastinya sudah bincangkan oleh semua pimpinan utama dalam parti komponan PH dan dipersetujui bersama.

"Apabila itu keputusan di peringkat kabinet, semua pimpinan terlibat dalam perbincangan. Jadi apa keperluan pimpinan peringkat bawah nak persoalkan lagi?" ujarnya.

Sementara itu, PKR Kelantan juga dilihat tidak bermasalah dengan pelantikan pengerusi MTNg itu, namun menambah bahawa pandangan pemimpin tempatan perlu diambil kira.

Pengerusinya, Mohd Suparadi Md Noor berkata, semua pihak perlu menerima dengan terbuka keputusan lantikan tersebut.

"Saya tidak nyatakan Mohamed Azmin adalah individu yang sepatutnya, tetapi kita perlu terima dan sokong sesiapa saja.

"Tidak berbangkit isu ini kerana yang paling penting adalah rakyat Kelantan dapat nikmati pembangunan.

"Selain itu, pengerusi dan jawatankuasa yang dilantik dalam agensi itu juga harus mengambil kira pandangan daripada pemimpin tempatan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS