Pemuda Umno Johor secara sinis membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dulu merupakan "pejuang" yang menentang penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Penerangannya, Johan Azam Mohd Yasin, dalam kenyatan hari ini berkata suara-suara "pejuang" berkenaan tidak lagi kedengaran.

"Hari ini, setelah PH membentuk kerajaan, perjuangan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar sebelum ini untuk melihat AES dimansuhkan nampaknya tidak menjadi kenyataan dan hanya cerita palsu mereka sahaja.

"Sebaliknya, sistem tersebut dikekalkan malah ditambah lagi kamera AES di Lebuh Raya Utara Selatan dengan kos RM200,000 setiap kamera iaitu lebih mahal daripada zaman kerajaan terdahulu iaitu RM170,000.

"Saya dan rakyat Johor masih ternanti-nanti apa pendirian Mahfuz yang kini sudah bergelar Timbalan Menteri Sumber Manusia berhubung isu berkenaan," katanya. 

Untuk rekod, AES yang dibantah pemimpin PH ketika menjadi pembangkang dikendalikan oleh syarikat persendirian.

Selepas mengambil alih kerajaan, PH tidak menyambung kontrak dua konsesi pengendali AES berkenaan yang tamat pada 31 Ogos tahun lalu. 

Sebaliknya, sistem berkenaan diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) yang berkuatkuasa 1 Sept tahun lalu.

Sementara itu, selain Mahfuz, Johan juga memetik nama Lim Guan Eng dan mempersoalkan sama ada menteri kewangan itu akan menentang keputusan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Sudah semestinya kita mahu melihat Lim juga menentang keputusan Anthony (menambah kamera AES)," tambah beliau lagi.

Sementara itu Mahfuz dalam satu hantaran di laman soial Facebooknya menegaskan bahawa pendirian berhubung isu AES tidak pernah berubah.

"Saya fikir itu sudah jelas tentang pendirian (peribadi) saya selama ini dan saya percaya kerajaan harus memberi pertimbangan sewajarnya

"Pertama, pengguna perlu bayar kompaun dan kemudian demerit juga memotong mata yang sehingga satu peringkat boleh digantung lesen mereka. Ini menunjukkan dua kali mereka dihukum dan bagi saya ia tidak wajar," tulis Mahfuz.