Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi DAP Kelantan Chua Chin Hui mendakwa pimpinan parti di negeri itu disisihkan apabila tidak diberikan sebarang jawatan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan.

Chua berkata, keadaan itu berbeza dengan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR Kelantan yang diberikan jawatan sama ada sebagai senator atau pengerusi badan berkanun.

Terbaru, katanya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg).

"Barisan jawatankuasa DAP Kelantan rasa tersisih dan kesal apabila tiada sebarang jawatan diberikan. Kami rasa seperti dianaktirikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Tidak seperti parti-parti lain dalam PH di sini, masing-masing diberi jawatan sama ada sebagai senator atau pengerusi badan berkanun," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Semalam isu pengagihan jawatan antara parti-parti gabungan PH dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa DAP Kelantan.

Menurut Chua ketika pentadbiran BN sebelum pilihan raya umum lalu, gabungan itu turut mengagihkan jawatan kepada wakil parti komponen di peringkat negeri.

"Masa zaman BN sebelum ini parti seperti MCA dan Gerakan pun diberi jawatan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas dan membantu rakyat walaupun Kelantan diperintah PAS," ujar Chua.

Justeru beliau mempersoalkan mengapa anggota DAP tidak diberikan sebarang jawatan sedangkan parti itu juga memainkan peranan dalam pentadbiran PH termasuk di Kelantan.

"Kami rasa agak kecewa sudah sembilan bulan PH mentadbir Malaysia tetapi keadaan ini masih berlaku," katanya. 

Lihat Komen
ADS