Keamanan di wilayah Selatan Thailand di masa depan kini bergantung kepada budi bicara panel yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah, kata fasilitator rundingan itu Abdul Rahim Noor.

Ia susulan penggantungan pertemuan antara dua pihak itu semalam, selepas General Udomchai Thammasarorat - ketua panel bagi kerajaan Thai - bertegas hana mahu bertemu ketua panel kumpulan pemisah, Shukri Hari.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita juga tidak tahu langkah mereka seterusnya.

"Malaysia hanya menjadi fasilitator. Bukan kita yang memutuskan untuk mereka bertemu.

"Mungkin mereka mahu bertemu selepas Tahun Baru Cina, atau selepas pilihan raya Thai Mac ini. Apa-apa pun, kita tidak tahu (dan) terpulang kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Majlis Syura Patani (Mara Patani) dilaporkan membuat keputusan menggantung dialog, yang sepatutnya menjadi perjumpaan rasmi pertama mereka selepas beberapa bulan.

Menurut Bernama, Shukri berkata mereka kecewa dengan sikap Udomchai, dan menggesa kerajaan Thai menggantikannya dengan seorang yang "lebih berwibawa".

Rahim yang juga bekas ketua polis negara berkata, beliau juga bingung dengan permintaan Udomchai yang hanya mahu berjumpa dengan Shukri.

"Kedua-dua pihak ada pasukan sendiri, masing-masing dianggotai antara lima dan enam orang. Tetapi Udomchai bertegas beliau hanya mahu bertemu dengan Shukri dan berkata anggota panel Mara Patani lain boleh bertemu dengan anggota panel lain pasukannya.

"Sementara Shukri sedia bertemu dengan Udomchai, beliau mahu pertemuan diadakan dengan kehadiran semua anggota panel.

"Sikap Udomchai ini agak pelik. Sebagai ketua, beliau sepatutnya bersama-sama panelnya untuk berjumpa panel kumpulan pemisah - seperti apa yang dilakukan Shukri," katanya.

Justeru, katanya lagi, wakil kumpulan pemisah merasakan sikap Udomchai itu menunjukkan beliau tidak jujur untuk berdialog.

Rahim berkata Malaysia tidak mampu berbuat apa-apa kerana fasilitator tidak boleh berpihak.

Ketika ditanya tentang perkembangan terbaru itu akan memburukkan lagi pergolakan di selatan Thailand, Rahim berkata "ia bergantung kepada budi bicara pihak yang terlibat".