Laporan: MLM sasar pelajar IPT umpan guna kursus perniagaan digital
Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2016 menyasarkan golongan pelajar universiti meraih keuntungan besar dengan taktik pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
Berita Harian hari ini melaporkan bahawa sindiket berkenaan menawarkan kursus perniagaan digital dengan bayaran sehingga RM9,0000.
Penuntut kursus berkenaan dikatakan diumpan dengan komisen 30 peratus untuk menjadi ejen untuk menarik penuntut baru.
Menurut laporan itu, kursus berkenaan tidak seperti yang diiklankan dan sebaliknya penuntut hanya didedahkan kemahiran asas menggunakan media sosial bagi mengembangkan perniagaan.
Salah seorang mangsa, yang mendaftar kursus terbabit pada 2016 selepas diperkenalkan oleh seorang kenalan mendakwa, kursus itu Sebaliknya hanya melatih dia cara menarik pelajar lain.
"Saya dimaklumkan akan mendapat kembali RM9,000 yang sudah dibayar itu menerusi komisen jika berjaya menarik pelajar baru.
“Saya disediakan skrip untuk mengumpan ahli baharu dan dalam beberapa jam sahaja sudah berjaya. Bayaran yang dibuat oleh pelajar baru dimasukkan ke akaun tertentu,” katanya dipetik Berita Harian.
Mangsa turut mendakwa kerugian semua wang simpanan berjumlah RM40,000 sepanjang menyertai kursus berkenaan dan menjelaskan terdapat hampir 100 pelatih sindiket itu yang masih aktif.
Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2016 itu mempunyai keahlian lebih 2,000 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.
Laporan itu turut menyatakan bahawa mangsa dipujuk menggunakan wang daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tabung Haji atau meminjam dari saudara dan kenalan.
Mangsa turut mendakwa seramai 20 mangsa lain telah membuat laporan polis sejak Disember lalu dan petisyen mengumpulkan mangsa bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sudah digerakkan dan berjaya mendapat 1,000 tandatangan setakat ini.

