Penahanan seorang jurujual rumah berusia 29 tahun membawa kepada penemuan dadah jenis syabu yang keseluruhan dianggarkan seberat 334.4 gram dalam dua serbuan di dua lokasi di Seremban, Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Mohamad Mat Yusop dalam kenyataan di ibu negeri itu berkata selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Hilux dan pelbagai barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150, 599.

Suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di parkir letak kenderaan sebuah rumah kelab di Sendayan di Seremban pada 10 pagi.

Mohamad berkata dalam serbuan pertama itu, polis menemui dua paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 20 gram daripada suspek.

"Soal siasat yang dijalankan juga, suspek mengaku ada menyimpan dadah di rumahnya di Bandar Sri Sendayan. Pemeriksaan lanjut ke atas rumah berkenaan, polis merampas bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 314.4 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM54,210,” katanya.

Mohamad berkata selain itu, polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek serta pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan tersebut berjumlah RM96,389.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati beliau negatif dadah namun mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Feb ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

- Bernama