Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diskaun saman trafik: Belum muktamad tapi dapat ringan beban pesalah - IGP
Diterbitkan:  Feb 4, 2019 9:12 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memutuskan untuk memansuhkan tawaran diskaun ke atas bayaran saman trafik.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan mendapatkan butiran lengkap mengenai tawaran diskaun ke atas saman trafik dan merujuknya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kata putus.

Beliau berkata pemberian diskaun itu bertujuan meringankan beban bayaran saman yang dikumpul pesalah trafik, menggalakkan mereka melunaskannya selain merapatkan hubungan dengan masyarakat.

"​​​​​​Bukan selalu kita beri diskaun (saman trafik). Ada kesalahan tertentu yang sudah terlampau banyak jumlah samannya. Malah, kontinjen juga tidak boleh beri diskaun sewenang-wenangnya dan perlu mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman terlebih dahulu.

"Pemberian diskaun (saman trafik) yang kita laksanakan itu nampaknya dialu-alukan oleh masyarakat dan (melalui diskaun saman) kita beri ruang kepada pesalah trafik untuk selesaikan saman mereka supaya polis tidak perlu mengeluarkan waran tangkap,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor yang baru, di Shah Alam hari ini.

Cadangan tak beri diskaun

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini bahawa dasar tidak memberikan sebarang diskaun ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan.

Selain daripada itu, Loke berkata beliau juga bercadang untuk berbincang dengan KDN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak diberikan sebarang diskaun.

Kata Mohamad Fuzi, PDRM juga tidak akan bertolak ansur mahupun menawarkan sebarang diskaun kepada pesalah trafik sepanjang musim perayaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan di seluruh negara.

Ditanya mengenai jaminan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula 16 Februari ini bagi proses penamaan calon, Mohamad Fuzi yakin ia akan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, persiapan keselamatan sedang dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan beliau menyarankan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keselamatan sepanjang PRK itu supaya segera menyalurkan terus kepada polis.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Noor Azam Jamaludin menerima tugas sebagai Ketua Polis Selangor yang baru menggantikan Mazlan Mansor yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS