Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Faiz: SPRM tak perlu laporan rasmi untuk siasat isu RM90 juta
Diterbitkan:  Feb 5, 2019 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memerlukan laporan rasmi untuk menyiasat dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, ini kerana kes tersebut telah didedahkan secara meluas oleh media serta pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dalam penyata pembelaannya yang boleh diakses umum.

"Dokumen tersebut boleh dijadikan asas siasatan kerana fakta yang didedahkan membangkitkan syak berlakunya pelakuan rasuah.

"Menurut Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009, SPRM boleh menyiasat sesuatu maklumat selain daripada aduan bertulis berkaitan perlakuan rasuah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seksyen itu menyatakan "jika seseorang pegawai suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki perlakuan suatu kesalahan di bawah akta ini berikutan dengan subseksyen (1) atau maklumat yang diterima selain olehnya, dia hendaklah menyebabkan penyiasatan dibuat dan bagi maksud itu boleh menjalankan segala kuasa penyiasatan yang diperuntukkan akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah".

Hari ini, SPRM dilaporkan belum menerima laporan rasmi berkenaan penerimaan dana tersebut dan menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenainya tampil membuat laporan dan tidak hanya melontarkan.

Dalam pada itu, Faiz yang juga adun Permatang Pasir berkata SPRM juga perlu menyiasat PAS dan pemimpin yang didakwa menerima wang itu.

"(Ini kerana) isu ini melibatkan penyelewengan dana 1MDB yang mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan rasuah dan penggubahan wang haram," katanya lagi.

Pada 2 Februari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan kes samannya terhadap Clare yang membuat dakwaan itu di luar mahkamah.

Penyelesaian itu antara lain menyebabkan artikel Sarawak Report yang mengandungi dakwaan itu tidak perlu dipadamkan.

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata kini hanya siasatan polis dan SPRM yang dapat merungkai sejauh mana kebenarannya.

Lihat Komen
ADS