Pemimpin Umno diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan ramalan Firma penyelidikan Fitch Solutions Macro Research bahawa populariti Pakatan Harapan (PH) akan menurun dalam tempoh beberapa bulan nanti.

Sebaliknya kata Ketua Penerangan Umno, Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam apa juga situasi Umno perlu berkerja dan berusaha memulih serta memperkasakan parti itu.

"Sasaran kita adalah untuk kembali berkuasa dengan memenangi pilihan raya. Oleh itu Umno mesti kuat dan kekuatan kita tidak boleh dengan hanya bergantung kepada kelemahan PH.

"Apatah lagi dipengaruhi pelbagai ramalan seperti dibuat oleh Fitch Solutions Macro Research.

"Kita juga mesti terus meyakinkan rakyat bahawa Umno mampu untuk melaksanakan dasar yang terbaik pada rakyat jika diberikan semula kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Firma penyelidikan, Fitch Solutions Macro Research meramalkan populariti PH menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang disebabkan oleh dasar-dasar yang diamalkan dan perbalahan dalam gabungan pakatan itu sendiri.

Firma penyelidikan itu turut memaklumkan risiko pembubaran PH juga semakin meningkat, meskipun kajian dijalankan itu tidak menjurus kepada perkara tersebut.

“Pandangan Fitch Solution adalah PH mengalami risiko penurunan dalam popularitinya kerana tiga sebab iaitu mungkin pengundi semakin berpendapat bahawa kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Kedua, gabungan pakatan itu berulang kali menunjukkan perpecahan dalam kalangan mereka dan ketiga adalah kekecewaan para pengundi dengan idea bahawa kerajaan PH akan membawa Malaysia Baru dengan kesaksamaan kaum yang lebih tinggi,” jelas firma itu.

Sementara itu, Shamsul berkata Umno perlu terus berjuang membela dan menyuarakan isu dan masalah rakyat yang ketika ini tertekan dengan kegagalan kerajaan PH membela mereka.

"Kita tahu bahawa ketika ini rakyat kecewa dengan kerajaan PH yang gagal membawa pembaharuan kononnya melalui pendekatan Malaysia Baru mereka. Jadi kita mesti mengubati kekecewaan rakyat dengan membela mereka.

"Justeru, apa yang perlu kita lakukan ialah terus mendekati rakyat dan memperjuangkan kepentingan mereka.

"Saya yakin jika terus bersatu padu. Umno terus berjuang dan membela rakyat. Percayalah rakyat akan bersama kita," katanya lagi.