3 rentung dalam BMW di lebuh raya
Seorang wanita berusia 65 tahun antara tiga yang rentung selepas kereta jenis BMW yang dinaikinya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Km6.9 Lebuhraya SILK menghala Sungai Long, Kajang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi di kiri jalan dan terbakar.
Menurutnya, semasa kejadian terdapat tiga mangsa dalam kereta itu dan usaha mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat serta mendapatkan sampel ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ahmad Dzaffir berkata kereta berkenaan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk pemeriksaan nombor casis kenderaan dan Puspakom.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norizham Mohd Nudin berkata kenderaan itu terbakar 90 peratus selepas melanggar pembahagi jalan.
Katanya bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada 5.46 petang dan sembilan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
- Bernama

