Saya tak batalkan projek Dr M, malah tambah baik lagi - Najib
Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa beliau tidak pernah membatalkan projek yang diilhamkan pemimpin sebelumnya termasuk Dr Mahathir Mohamad sepanjang memimpin negara.
“Saya tak pernah batalkan projek Dr Mahathir... LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) itu pun saya teruskan.
“Inilah semangat kita, kita tak boleh batalkan orang dahulu buat (tapi), kita buat lebih baik daripada dahulu,” katanya semasa berucap dalam Majlis Santai Umno dan PAS di Wisma Umno Bahagian Langkawi malam tadi, lapor Utusan Malaysia.
Jelas Najib, beliau ketika memimpin negara bukan saja tidak membatalkan projek-projek yang direncana pemimpin terdahulu, malah berusaha untuk menambah baik projek atau pembangunan sedia ada.
Dalam pada itu Najib berkata, beliau tidak pernah menafikan sumbangan Mahathir yang kini perdana menteri ketujuh dalam usaha membangunkan Pulau Langkawi.
Malah beliau juga turut meneruskan kesinambungan pembangunan di pulau peranginan terkemuka negara itu antaranya kelulusan tambahan 300 katil di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan rumah kos rendah berjumlah 1,000 unit.
“Saya tak nafikan apa Che Det (Mahathir) buat untuk Langkawi, jadi apabila saya jadi perdana menteri saya bawa ke peringkat lebih tinggi lagi dan kalau ada perdana menteri lain nanti (patut) bawa ke peringkat lebih tinggi juga.
“Saya bangunkan juga projek kabel dasar laut kepada penduduk Pulau Tuba yang berharga RM50 juta bagi mengatasi gangguan elektrik di situ, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebanyak RM89 juta dan RM600 juta untuk loji air.
“Bukan sekarang nak batal segala-galanya, batal-batal ini siapa pun boleh buat.. tiada masalah,” katanya.
Najib juga turut berkongsi kekecewaan pemandu teksi di pulau pelancongan itu terhadap isu grab atau e-hailing yang dijanjikan akan dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

