Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Kuala Lumpur.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 10.40 pagi dengan diiringi isteri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Beliau yang memakai kemeja berwarna merah disambut Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Majlis yang dianjurkan oleh Lim dan NCCIM itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Anwar Ibrahim.

Antara yang hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet lain serta Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu dihadiri ribuan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Suasana muhibbah

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bersama tetamu kehormat lain turut menggaul 'yee sang', acara tradisi masyarakat Tionghua yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan segala perkara yang menguntungkan.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya berkata rumah terbuka itu diadakan dengan suasana yang sangat muhibbah kerana dianjurkan secara bersama dewan perniagaan yang mewakili kaum Cina, India dan Melayu.

Katanya, muhibbah antara kaum itu adalah watak yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir.

“Saya juga yakin dengan perpaduan rakyat kita akan mencapai pembangunan ekonomi mampan.

“Marilah kita tunjuk yang rakyat Malaysia boleh bangkit semula supaya negara boleh dikenali sebagai harimau ekonomi Asia,” katanya.

Pada majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum.

- Bernama