Parti Amanah membuat lima laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek, yang didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (Maim) serta kerajaan negeri.

Kesemua laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Alor Gajah oleh Pemuda Amanah Melaka; Amanah Kawasan Alor Gajah, Angkatan Wanita Alor Gajah dan Pemuda Amanah kawasan Alor Gajah.

Timbalan Pengerusi Maim Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata laporan terbabit dibuat berikutan ceramah oleh Kamaruddin di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini.

“Dalam ceramah itu, pesuruhjaya PAS Melaka membuat kenyataan berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid dan kenyataan dibuatnya tidak tepat dan menjadi satu fitnah yang amat serius.

“Dia (Kamaruddin) mendakwa kutipan derma infak orang ramai di masjid akan diambil alih Maim, sekali gus jawatankuasa masjid tidak boleh mengurus sendiri kutipan tabung," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagaimanapun kata Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Kemudahan Awam Melaka, Kamaruddin meminta media yang supaya tidak memasukan kenyataan itu sebagai bahan berita.

“Selepas sebut perkara itu, dia minta media yang hadir tidak memasukkan kenyataan dalam kandungan berita kerana belum sah, sedangkan video ceramahnya dapat ditonton secara langsung menerusi Facebook,” kata tambah beliau.

Selain itu, Mohd Sofi berkata, Kamaruddin dalam ceramah terbabit turut mendakwa jawatankuasa masjid di Melaka sudah lapan bulan tidak berfungsi sejak diambil alih kerajaan yang baru.

Beliau berkata, tuduhan itu bukan sahaja berniat jahat terhadap kerajaan tetapi juga kepada Maim dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertanggungjawab menguruskan masjid.

Katanya, isu tuduhan jawatankuasa masjid yang sudah lapan bulan tidak berfungsi sebagai fitnah semata-mata kerana jawatankuasa sedia ada yang dipilih dari zaman kerajaan terdahulu bertanggungjawab sehingga 31 Disember lalu.

Mohd Sofi berkata, pihaknya sudah meminta Penasihat Undang-Undang Maim dan Pengurusan Masjid Jaim meneliti tuduhan dibuat Kamaruddin dan tindakan seterusnya berkaitan perundangan akan diputuskan kemudian.