Nafi halang pakej umrah swasta, MOF lapor polis
Kementerian Kewangan (MOF) membuat satu laporan polis terhadap penyebaran maklumat palsu berkenaan larangan orang Islam melakukan umrah melalui agensi selain Tabung Haji.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata berita yang dilaporkan oleh beberapa media itu semata-mata bagi membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap menteri kewangan bukan Islam yang kononnya campur tangan dalam hal ehwal Islam.
“Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang menghendaki orang Islam melakukan umrah hanya melalui Tabung Haji dan bukannya melalui agensi pelancongan swasta atau bebas yang dihalang daripada menawarkan pakej-pakej Umrah.
“Kementerian Kewangan telah membuat laporan polis untuk melaporkan penyebaran maklumat palsu dan juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata kenyataan tersebut.
Ia memetik laporan portal Malaysia Today berjudul “Guan Eng akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang mendakwa Tabung Haji ingin memonopoli perkhidmatan umrah dan menghapuskan peluang untuk agensi pelancongan swasta atau bebas milik Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran tersebut.
Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin pada hari sama ia diterbitkan, iaitu kelmarin.
“Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa menteri kewangan mahupun kementerian tidak sekali-kali pernah mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel tersebut.
“Tuduhan-tuduhan palsu ini berniat jahat dan merupakan fitnah dan pembohongan,” kata kenyataan itu lagi.

