PSM sah tanding di Semenyih
PRK Semenyih | Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, A Sivarajan, jawatankuasa teknikal pusat PSM pada 3 Feb telah mengambil keputusan sebulat suara susulan keputusan dibuat cawangan PSM Semenyih dan jawatankuasa pusatnya pada 24 dan 26 Jan lalu.
Katanya, parti itu memutuskan untuk bertanding di DUN berkenaan kerana mengambil kira suasana politik tanah air dan kehendak rakyat yang mahukan suara ketiga didengari.
"Keputusan ini diambil setelah mengambilkira beberapa perkara seperti faktor sejarah, kerusi tradisi, jentera PSM di Semenyih, pandangan ahli dan penyokong-penyokong parti, kewibawaan calon yang menepati syarat parti dan suasana politik tanah air yang mahukan suara ketiga yang menepati kehausan kehendak rakyat," tambahnya.
Kerusi Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang mewakili Bersatu meninggal dunia tiga minggu lalu.

PSM bertanding di kerusi itu sejak tahun 2008 dengan mempertaruhkan bekas setiausaha agungnya, S Arutchelvan. Bagaimanapun beliau tewas pada setiap kali pilihan raya.
Arutchelvan memperoleh 10,488 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon BN pada 2008, namun hanya memperoleh 5,568 undi pada PRU 2013 ketika pertembungan tiga penjuru berdepan calon BN dan PKR.
Pada pilihan raya umum lalu, S Arutchelvan sekali lagi tewas apabila hanya memperoleh 1,293 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Bakhtiar yang mewakili PH merampas kerusi itu daripada penyandangnya dari BN, Johan Abdul Aziz dan menewaskan seorang lagi calon PAS, Mad Shahmidur Mad Kosim dengan majoriti 8,964 undi.
Dalam pada itu, Sivarajan memberitahu parti itu akan mengumumkan calonnya sebelum hari penamaan calon.
"PSM dengan ini mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan dan tenaga sukarela untuk memantapkan lagi jentera parti," kata beliau lagi.

