Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajandran mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy supaya tidak membawa budaya MIC dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, tindakan Waythamoorthy mendakwa pemimpin India dari PKR dan DAP gagal membantu pembangunan kaum India di Malaysia 'sangat tidak sihat' dalam usahanya menubuhkan sebuah parti baru.

"Dulu MIC yang selalu kata hanya parti itu sahaja mampu menolong kaum India dan sebagainya. Tetapi, kita tahulah parti tersebut tidak buat apa-apa demi pembangunan kaum India sehingga MIC ditolak sejak PRU 12 (Pilihan Raya Umum ke-12).

"Sekarang, kami nampak YB Waytha cuba membawa budaya tersebut ke PH dalam usaha menubuhkan sebuah parti baru. 

"Saya gesa beliau jangan sesekali membawa budaya 'divide and rule' dalam PH," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian berikutan satu klip audio tular di media sosial yang dipercayai milik suara menteri perpaduan berkenaan.

Dalam klip audio selama seminit itu, Waythamoorthy menekankan keperluan kaum India mempunyai satu parti politik berasaskan kaum dalam PH, kerana pemimpin India daripada PKR dan DAP tidak dapat membantu kaum India ekoran visi parti-parti tersebut.

Dipercayai rakaman audio itu diambil pada satu majlis perjumpaan bersama akhbar-akhbar Tamil minggu lepas.

"Tiada wakil kepada kaum India dalam gabungan kerajaan baru buat masa ini. Kita ada pemimpin India di dua parti (PKR dan DAP). Tetapi, mereka hanya boleh bersuara mengikut visi parti masing-masing bukannya mengenai kepentingan kaum India," kata individu dalam audio tersebut.

'Tubuh parti baru bukan penyelesaian'

Mengulas lanjut, Rajandran berkata tiada keperluan untuk menubuhkan parti baru sebaliknya memadai bagi Waytha bekerjasama dengan menteri kabinet lain bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan kaum India.

"Saya mengakui memang ada rasa tidak puas hati oleh kaum India terhadap pemerintahan PH.

"Tetapi, tubuh parti baru bukan satu penyelesaian. Kalau tidak puas hati dengan pemerintahan sekarang kami mengalukan beliau bersuara. Bukannya tubuh parti baru," jelasnya yang mendakwa Waytha menggunakan kapasiti sebagai menteri untuk menubuhkan parti baru.

Untuk rekod, Waythamoorthy kini sedang menunggu kelulusan pendaftaran sebuah parti politik baru untuk kaum India di negara ini dikenali Malaysian Advancement Party (MAP) daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada Waythamoorthy yang kini berada luar negara.