Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Warisan: Tiada rundingan dengan Bersatu, hormat perjanjian
Diterbitkan:  Feb 6, 2019 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Junz Wong menafikan partinya sedang berunding dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) berhubung hasrat untuk bertapak di Sabah.

Menurut Wong, perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan Warisan bahawa Bersatu tidak akan membuka cawangan di negeri ini masih diterima pakai.

"Tiada rundingan sedang berjalan dan perjanjian telah lama dibuat, iaitu Bersatu tidak akan masuk ke Sabah.

"Sekali lagi kami meminta Bersatu menghormati perjanjian itu dan menumpukan pembinaan di Semenanjung Malaysia, kerana Sabah berada dalam keadaan yang baik di bawah kerajaan yang dipimpin Warisan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya berkata parti itu bersedia menubuhkan cawangan di Sabah, tetapi perbincangan dengan Warisan masih berjalan.


Baca: Bersatu sedia masuk Sabah, bincang dengan Warisan


Marzuki berkata, sebarang pengumuman mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac.

Wong yang juga Adun Tanjong Aru menegaskan  rakyat Sabah tidak lagi bersedia menerima parti dari semenanjung di negeri itu.

"Orang Sabah tidak mahu lagi melihat mana-mana parti Malaya (semenanjung) bertapak di Sabah. Kecuali jika tujuannya untuk menjejaskan politik di Sabah, yang percaya bukan itu sebabnya," katanya.

Malay Mail hari ini memetik bekas pengerusi Umno Sabah, Hajiji Mohd Noor sebagai berkata Bersatu akan membuat kemunculan di Sabah "tidak lama lagi."

Hajiji - antara wakil rakyat yang keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) - mendakwa beliau telah berhubung dengan pemimpin Bersatu mengenai perkara itu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata partinya mesti berhati-hati dengan rancangan untuk mengembangkan parti itu ke Sabah, dengan mengambil kira perjanjian sedia ada antara PH dan Warisan.

Terdahulu bulan ini, Ketua Menteri Sabah dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dilapor menggesa Bersatu untuk berpegang pada janji dan menegaskan Warisan mampu mengurus dan mentadbir negeri itu dengan baik.

Lihat Komen
ADS