Sesebuah kerajaan yang mementingkan integriti tidak akan menerima sebarang pembohongan dalam kalangan anggota kepemimpinan mereka, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya sebagai sebuah kerajaan berwibawa pihak terbabit tidak boleh membenarkan anggotanya memiliki sijil pengajian yang palsu atau diperolehi secara tidak sah.

Katanya perbuatan tersebut melambangkan individu terbabit tidak memiliki sifat amanah dalam dirinya.

"Jika mana-mana kerajaan menyimpan anggota yang sedemikian, bererti ia sebuah kerajaan yang tidak begitu mengambil berat soal integriti," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Kenyataan itu memang bersifat umum, namun dikeluarkan ketika pelbagai pihak mempertikaikan kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.

Beliau yang juga setiausaha agung Bersatu didakwa memalsukan kelayakan akademiknya kerana mendakwa mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge.

Semalam pula Malaysiakini melaporkan Marzuki sebagai berkata ijazah yang dimilikinya adalah dari Cambridge International University yang berpusat di AS, dan bukannya University of Cambridge di United Kingdom.

"Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.

"Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya.

"Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya," katanya kepada Malaysiakini.