“Kesungguhan” Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berusaha mendapatkan bantuan tambahan kepada sekolah agama wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan, kata wakil rakyat Umno Reezal Merican Naina Merican.

“Dalam isu ini, kesungguhan dan komitmen YB menteri pendidikan wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan dan khususnya Kementerian Kewangan.

“Sebagai kementerian yang cukup strategik, kelemahan penyediaan peruntukan tambahan akan memberikan persepsi negatif kepada KPM (Kementerian Pendidikan); dan ia tidak patut berlaku sama sekali,” kata anggota parlimen Kepala Batas.

Maszlee Malik

Kementerian Pendidikan pada 5 Februari lalu berkata Maszlee telah mengemukakan permohonan kepada Lim untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama negeri.

KPM berkata perkara itu masih dalam pertimbangan.

KPM juga dan menolak tanggapan mengatakan pihaknya tidak mengambil berat tentang kebajikan murid dan sekolah khususnya yang membabitkan di sekolah terlibat.

KPM juga menjelaskan bahawa peruntukan RM12 juta kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina tahun ini bukan peruntukan mereka tetapi dari dana khas Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataan hari ini, Reezal membandingkan bantuan itu dengan yang diperoleh oleh sekolah persendirian Cina.

“Rakyat berasa khuatir kerana peruntukan untuk sekolah persendirian Cina boleh pula dipercepat melalui penyediaan 'dana khas' Kementerian Kewangan.

“Apakah ada kewajaran peruntukan tambahan untuk sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri dilewatkan? Atas alasan dan faktor apa?” soalnya.

Timbalan menteri pendidikan ketika beramah mesra dengan murid sekolah Cina.

Beliau menegur Kementerian Kewangan supaya tidak menjadikan badan itu sebagai "kubu" untuk membina kekuatan politik peribadi dan parti sendiri.

“Kegusaran rakyat ini ada asasnya. Prasarana sebahagian sekolah kebangsaan dan agama berada dalam keadaan cukup daif.

“Ia memerlukan dana segera - dan kelewatan birokrasi seperti ini seolah menjadikan kelompok pelajar sebagai mangsa permainan politik,” katanya

Reezal juga berkata kenyataan rasmi KPM bertarikh 5 Februari mengesahkan wujud kelemahan di peringkat Kementerian Kewangan dalam mempercepat urusan perolehan peruntukan tambahan berkait prasarana pendidikan.

“Maka, tidaklah salah jika ada persepsi umum di kalangan rakyat bahawa wujud peminggiran keutamaan dana untuk sekolah kebangsaan dan agama,” katanya.