Pemuda Umno mahu Marzuki lepas jawatan demi moral
Pemuda Umno menggesa Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, mengambil tanggungjawab moral dengan melepaskan jawatan yang disandangnya selepas status ijazahnya dipertikaikan.
Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebagai pemimpin parti yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, Marzuki harus bertindak sejajar dengan dasar tersebut.
Kata Asyraf Wajdi, pendedahan mengenai status pendidikan setiausaha agung Bersatu itu memalukan negara.
"Saya tidak bermaksud seseorang itu harus berkelayakan tinggi jika ingin menjadi ahli politik. Namun sebagai seorang Timbalan Menteri Luar yang menjadi 'wajah' Malaysia di mata dunia, tindakan beliau yang cuba memalsukan status akademik mencemar integriti seorang pemimpin.
"Bagaimana seorang pemimpin yang mempertaruhkan moral dan etikanya mampu bertindak selaku perunding utama mewakili Malaysia dalam pelbagai perjanjian antarabangsa akan dihormati oleh negara luar?
"Justeru, Pemuda Umnomenggesa agar Marzuki mengambil tanggungjawab moral dengan melepaskan jawatan secara terhormat demi kredibiliti kepimpinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi juga menyatakan kekecewaanya terhadap kenyataan beberapa pimpinan tertinggi Bersatu yang mempertahankan Marzuki, malah membandingkannya dengan kesalahan mencuri wang rakyat.
Katanya ia menunjukkan seolah-olah Bersatu menghalalkan penipuan dan perbuatan memalsukan sijil akademik.
Semalam, menjelaskan kontroversinya, Marzuki mendakwa diia mendapat ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Cambridge International University yang berpusat di AS, dan bukan University of Cambridge di United Kingdom.
"Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.
"Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya. Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya," katanya kepada Malaysiakini.
Marzuki sekali lagi menegaskan beliau akan memberikan semua bukti kelayakan akademiknya kepada polis sebaik sahaja dipanggil untuk disoal siasat.
Sementara itu Ketua Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan, berkata kontroversi yang melanda Marzuki jelas mencalar integriti kerajaan.
Katanya, lebih malang apabila anak muda terpaksa berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mendapatkan ijazah, namun pemimpin politik hanya memalsukannya.
"Pemuda Ikatan juga berasa jelik apabila Tariq Ismail dan Mukhriz Mahathir daripada Bersatu memandang remeh perkara ini.
"Kenyataan ini menyinggung perasan seluruh anak-anak muda yang bersengkang mata mendapatkan pendidikan tinggi terbaik untuk mereka," katanya.

