Anak nafi pendapatan peneroka hanya RM400 sebulan
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menafikan dakwaan Pemuda Umno Pengerang yang mendakwa peneroka Felda kini hanya menerima gaji RM400 sebulan.
Sebaliknya, kata Anggota Jawatankuasa Anak, R Thangam, ia dianggap sebagai fitnah yang sengaja dibuat-buat bagi mengelirukan rakyat.
Thangam berkata peneroka kini mengalami kekurangan hasil kerana buah yang berkurangan.
"Kita perlu fahami sekarang ini musim 'kemarau' bagi kelapa sawit.
"Hasilnya akan berkurang, namun tidaklah seteruk RM400 sebulan.
"Saya mendapati secara purata gaji sebulan peneroka pada masa kini di antara RM1,200 hingga RM1,500," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Thangam peneroka yang mendapat pendapatan serendah itu hanyalah dalam kalangan "anggota Umno" yang tidak mahu berusaha mencari pendapatan lebih baik.
"Kalau masih ada yang hanya mampu menjana pendapatan RM400 sebulan, iaitu mungkin ahli-ahli Umno yang malas bekerja," katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Pengerang, Aznan Tamin, mendakwa gaji peneroka Felda kini hanya RM400 sebulan bawah pemerintahan PH.
Baca Akar umbi Umno: Gaji peneroka Felda hanya RM400 sebulan
Beliau berkata pendapatan itu jauh berbanding apa yang mereka perolehi sebelum ini, iaitu lebih RM3,000 sebulan.
Aznan turut menegaskan janji PH untuk menghapuskan 50 peratus hutang peneroka Felda merupakan janji tidak masuk akal.
Menyentuh tuduhan-tuduhan Aznan, Thangam yang juga Ketua PKR Rembau berkata punca kegagalan Felda hari ini adalah hasil 'kehebatan' bekas Perdana Menteri Najib Razak.
"Saya anak peneroka Felda yang sudah berusia 56 tahun.
"Felda memang beroperasi dengan baik mulai zaman Abdul Razak Hussein, hinggalah Najib terpijak tanah Felda, dan sejak itu segalanya runtuh," katanya.
Thangam turut memberi contoh skandal pembelian saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Felda oleh Felda Holdings dua tahun lalu.
Katanya KPF mewakili peneroka Felda mempunyai saham 51 peratus dalam Felda Holdings dan dibeli dengan harga rendah berbanding 49 peratus saham dibeli Felda yang mewakili anggota pentadbiran badan itu yang dibeli pada harga jauh lebih tinggi.
"Ini salah satu contoh 'kehebatan' pemerintahan lama yang tak tahu malu," katannya.
Untuk rekod, keluarga Thangam merupakan pemegang saham tertinggi di KPF dengan saham sebanyak satu juta.
Katanya kerajaan PH memerlukan masa lebih wajar untuk memulihkan Felda yang diterima daripada kerajaan BN dulu.
"PH perlukan masa untuk menstruktur semula Felda untuk penyelesaian penuh. Bukan macam BN yang hanya membantu Felda pada musim pilihan raya," katanya.
*Nota editor: Terdapat kesilapan pada bahagian penghapusan 50 peratus hutang Felda. Berita sudah dikemaskini dan kesilapan amat dikesali.

