Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) hari ini mengesahkan wujud aktiviti penerokaan tanah haram berhampiran Bukit Kledang di Ipoh, Perak bagi tujuan perladangan kelapa sawit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin berkata tinjauan pihaknya di kawasan seluas hampir 10 hektar seperti yang dilaporkan media semalam berhubung aktiviti penerokaan haram turut melibatkan sebahagian dari tanah hak milik MB Inc.
Katanya hasil siasatan mendapati para peneroka haram itu telah menanam anak-anak pokok kelapa sawit di lereng tanah bukit yang telah diteroka secara haram.
"Siasatan awal mendapati selain tanah MB Inc, kawasan yang terjejas (akibat aktiviti penerokaan haram) turut melibatkan tanah milik kerajaan negeri.
"Pihak Jabatan Perhutanan Negeri (JPNPk) juga telah mengesahkan tanah milik MB Inc dan kerajaan negeri yang terjejas tidak terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong malah kawasan itu tidak pernah digazetkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Anuar berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah mengarahkan semua kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan dihentikan serta-merta dan siasatan telah dimulakan bagi mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bangun projek hartanah bercampur
Beliau berkata kali terakhir pihak MB Inc meninjau kawasan Bukit Kledang pada 19 Januari lalu dan ketika itu mendapati tiada sebarang aktiviti penerokaan haram berlaku di kawasan berkenaan.
"Untuk makluman, MB Inc merancang untuk membangunkan projek hartanah bercampur di kawasan berkenaan khusus penempatan untuk rakyat selain mengelakkan tanah milik agensi kerajaan daripada diusahakan oleh peneroka haram.
Katanya MB Inc kesal dengan aktiviti penerokaan haram yang dilihat mahu mencabar pihak berkuasa kerana aktiviti pencerobohan itu dikesan dalam tempoh sepuluh hari selepas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri.
Jawatankuasa itu diwujudkan bagi mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkanun negeri.
Anuar berkata tinjauan di kawasan penerokaan haram pada hari ini turut dihadiri Pengarah JPNPk Datuk Mohamed Zin Yusop selain pegawai Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Manjoi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
- Bernama
