Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kereta mewah anak saya tak ada kaitan dakwaan RM90 juta - Mursyidul am PAS
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 10:12 PM
Dikemaskini: 5:42 PM

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mempertikaikan pihak yang membangkitkan pembelian kereta mewah jenis Porsche Cayman yang dibeli anaknya dengan menggunakan permit Lesen Import (AP) miliknya dalam kapisiti beliau sebagai MP ketika itu.

Harian Metro hari ini memetik Hashim berkata pihak yang membangkitkan hal tersebut sudah ketiadaan isu.

“Depa sudah tak ada isu, saja nak bangkitkan perkara ini supaya menepati keperluan dan kereta yang dibeli anak saya itu tak ada kaitan langsung dengan tuduhan wang RM90 juta itu.

“Dari dulu sampai sekarang saya bawa Proton Saga saja dan rakyat Perlis tahulah kehidupan saya macam mana dan sewaktu kereta itu (Porsche Cayman) itu dibeli anak saya, ia mengikut proses undang-undang yang sah,” katanya.

Hashim dilaporkan menjawab tuduhan pihak Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown terhadap PAS di Mahkamah Tinggi London bahawa pemimpin tertinggi dan ahli parlimen PAS menikmati kemewahan daripada wang pemberian bekas perdana menteri Najib Razak yang disalurkan ke parti itu.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, tuduhan itu sengaja ditimbulkan supaya ia memenuhi kehendak kontroversi politik semasa yang membabitkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dakwaan rakaman audio Nik Abduh

Ia dipercayai merujuk kepada dakwaan rakaman audio Nik Abduh yang mengaku PAS menerima duit dari Umno.

Seorang lelaki pada 5 Februari lalu tampil membuat laporan polis berhubung tuduhan seorang pengguna Facebook mengenai rakaman audio yang didakwa melibatkan pemimpin PAS berkenaan.

Che Amir Farid Che Isahak berkata, beliau membuat laporan itu agar tuduhan individu berkenaan, Dr Muhammad Atiullah bahawa Nik Abduh menerima wang daripada Umno disiasat.

Beliau juga berharap perkara itu akan dipanjangkan untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Nik Abduh telah pun menafikan rakaman audio itu, berkata ia bukan suaranya.

“Isu yang paling utama mereka nak panjangkan PAS terima duit Umno, mereka cipta rakaman mendakwa saya mengakui dan saya nafikan, rakyat dah muak dengan isu sebegini," katanya pada 5 April 2018, menjelang PRU 14.

Terdahulu hari ini, anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata partinya tidak tertekan dengan kemungkinan SPRM menyiasat dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.

Nik Abduh berkata beliau mengalu-alukan siasatan oleh agensi berkenaan.

Bukan kegunaan peribadi

Sementara itu menurut Hashim lagi, anaknya membeli kereta berkenaan untuk kegunaan perniagaan dan bukan kegunaan peribadinya.

“Saya tak pernah naik pun kereta itu, anak saya beli kereta itu untuk perniagaan dengan menggunakan AP saya dan secara automatiknya kereta itu atas nama saya.

“Kereta itu pun sudah dijual lama dahulu dan saya pun tak ada duit nak beli dengan harga RM100,000 lebih secara tunai ketika itu.

“Jadi kalau tanya saya, betul kereta itu atas nama saya tetapi saya tidak memilikinya secara mutlak seperti yang dituduh baru-baru ini,” katanya lagi kepada Harian Metro.

Dakwaan Hashim Jasin memiliki kereta mewah tersebut sudah beberapa kali timbul di media sosial, antaranya pada Februari 2017, susulan dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS