EKSKLUSIF | Kerajaan persekutuan merancang untuk mencadangkan pindaan baru terhadap Akta Orang Asli 1954, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Farid Md Rafik.

Beliau yang merupakan timbalan menteri perpaduan dan kesejahteraan sosial berkata pindaan tersebut dirangka bagi menyediakan perlindungan yang lebih baik terhadap Orang Asli di negara ini.

Katanya, ini termasuklah perkara mengenai hak masyarakat itu terhadap warisan tanah adat mereka.

"Dari segi Akta Orang Asli ini, terutama bahagian tanah, kita nak tengok secara berperingkat bagaimana kita nak sebenarnya cuba ubah balik akta itu untuk melindungi kepentingan Orang Asli ini.

"Benda macam ini salah satu inisiatif kita ambil. Bermakna kita akan cadangkan ubahan rang undang-undang melibatkan Akta Orang Asli ini maka kita boleh lindungi mereka dengan lagi baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mengulas lanjut, MP Tanjung Piai berkata antara isu yang hendak disentuh termasuklah pampasan terhadap Orang Asli jika tanah mereka diambil alih.

Kaedah penilaian ketinggalan zaman

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan Orang Asli mendapat pampasan yang yang adil dalam kes-kes sedemikian, termasuk kaedah penilaian yang ketinggalan zaman

"Ada kalanya Akta Orang Asli ini bila tanah yang dah digazetkan pada mereka diambil alih, tanah itu tak diberikan pampasan yang sewajarnya.

"Ini (menggunakan kaedah penilaian) dulu, kira berapa pokok getah, berapa ini, dulu-dulu punya cara (pengiraan). Benda itu dah berapa lama, dari 1940-an lagi.

"Itu salah satu perkara yang kita akan cuba ubah dan pastikan paling kurang jika ada apa-apa berlaku mereka akan dilindungi undang-undang dan tidak ada pilihan melainkan mereka perlu diberikan pampasan yang sewajarnya. Penggantian tanah atau pun dari segi pampasan kewangan," katanya.

Farid juga ditanya mengenai isu hak Orang Asli di kawasan tanah di penempatan masing-masing, terutama di negeri-negeri yang tidak mewartakan warisan tanah adat bagi masyarakat itu.

Mengenai hal ini, beliau berkata kerajaan persekutuan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu Orang Asli supaya mendapat sesuatu daripada kerajaan negeri masing-masing bagi memastikan kebajikan dan kehidupan mereka terjamin.

Bagaimanapun, Farid mengakui bukanlah tugas mudah bagi kerajaan persekutuan, kerana isu tanah berada di bawah bidang kuasa negara.

Beliau berkata perbincangan dengan setiap negeri perlu dilakukan berdasarkan kes demi kes.

"Belum ada undang-undang yang boleh mengatakan kerajaan negeri komited untuk beri (tanah kepada Orang Asli)," jelasnya lagi.

[Baca berita penuh]