Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk mengemukakan bukti dokumen kedudukan kewangan terkini skuad Singa Utara pada 15 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata bukti dokumen itu akan diserahkan kepada Anggota Lembaga Pengarah MFL pada tarikh sama, selain memberi peluang kepada pengurusan baharu PFA untuk menjelaskan berhubung masalah tunggakan gaji yang melanda pasukan berkenaan.

“Kita bukan sahaja berdepan isu melibatkan PFA, tetapi semua pasukan yang mengalami masalah dalam proses pendaftaran mereka berkaitan dengan kelewatan dengan bayaran-bayaran sepatutnya.

“Untuk makluman, kita sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu-isu dihadapi satu pasukan yang dikendali pengurusan baharu dalam Liga Malaysia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL.

Dalam perkembangan sama, Kevin memaklumkan PFA memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang melanda pasukan berkenaan terutamanya isu tunggakan gaji.

”PFA telah menjelaskan mengapa kelewatan ini berlaku dan pertemuan ini memberi satu ruang kepada pihak pengurusan mereka memahami peranan MFL dan mereka menyedari tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Terdahulu, Kevin mengadakan pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie di ibu negara hari ini bagi mendapatkan gambaran sebenar kemelut yang melanda PFA.

PFA dilaporkan sedang mengalami masalah kewangan dalam pembayaran gaji pemain musim ini sehingga beberapa pemain dikatakan mahu meninggalkan skuad Singa Utara susulan kegagalan pengurusan baharu PFA melunaskan tunggakan gaji mereka.

-- Bernama