Paling Popular
Terkini

Anggota parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan, mereka yang membuat laporan terhadapnya berhubung isu penerimaan dana RM90 juta daripada Umno itu tersalah orang.

Menurut ahli jawatankuasa pusat PAS itu, pada pertemuan dengan pegawai SPRM itu beliau memberi keterangan beberapa perkara.

"Saya memberi keterangan beberapa perkara dan saya dipanggil kerana ada laporan pasal RM90 juta itu.

“Jadi saya fikir mereka yang buat laporan terhadap saya itu tersalah orang kot.

"Saya buat kenyataan (saya) tak ada maklumat. Panjang sikit (soal siasat) sejam lebih sebab mereka (pegawai SPRM) duduk menulis," katanya kepada media selepas memberi keterangan kepada SPRM di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Nik Abduh kelihatan keluar daripada pejabat SPRM Kelantan pada jam 12.30 tengah hari selepas masuk ke bangunan itu pada jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dipanggil susulan isu dana RM90 juta dan audio rakaman suara pengakuan terima duit Umno yang didakwa suaranya.

Isu tersebut timbul semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan di luar mahkamah samannya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brow 2 Februari lalu.

Ditanya mengenai audio rakaman suara itu katanya, beliau menjawab sedikit soalan yang ditanya pegawai SPRM.

"Ada saya jawab sikitlah, pasal rakaman itu saya jawab pendek tiada kaitan dengan saya dan saya dah jawab sebelum ini benda itu adalah karut, fitnah.

"Terima kasihlah kepada yang melapor.

Saya dapat ziarahlah bangunan ini. Lama tengok tapi tak pernah masuk," katanya.

Wartawan bertugas di bangunan SPRM Kelantan.

Sementara itu, bekas ketua pemuda PAS itu berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada SPRM jika diperlukan.

"Saya tak fikir nak panggil lagi. Salah orang, bukan saya. Mana-manalah SPRM kawan saya, kawan kepada PAS," ujarnya.

Lihat Komen
ADS