Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno dijemput bantu peneroka Felda
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 3:52 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Selepas dihentam oleh Pemuda Umno Bahagian Pengerang berkenaan isu kebajikan dan pendapatan bulanan peneroka Felda, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman hari ini secara sinis membalas hentaman tersebut dengan ucapan terima kasih.

Mazlan yang kini merupakan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) menjelaskan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk membaiki masalah kewangan yang dihadapi Felda dari pentadbiran terdahulu.

"Saya amat berbesar hati jika ketua-ketua pemuda Umno di 54 kerusi Parlimen dan 317 buah rancangan terus memberi penekanan kepada Felda untuk segera memuktamadkan penyata hutang peneroka.

"Di samping itu, mengenai pendapatan yang rendah, pemuda juga boleh menggerakkan ahlinya turun ke ladang memantau kerja ladang yang diuruskan oleh Felda atau Felda Technoplant Sdn Bhd (FTPSB) agar mengeluarkan hasil yang produktif serta berkualiti tinggi.

"Langkah yang lebih baik perlu diambil oleh ketua Pemuda Umno ialah membantu Felda mengatasi masalah tenaga kerja dengan menyediakan tenaga buruh di kalangan anak generasi Felda di kalangan Pemuda Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Anak menafikan dakwaan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang Aznan Tamin yang mendakwa peneroka Felda kini hanya menerima gaji RM400 sebulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Janji tak masuk akal

Dalam kenyataan Aznan semalam, beliau menegaskan janji PH untuk menghapuskan 50 peratus hutang peneroka Felda merupakan janji tidak masuk akal.

Aznan turut membangkitkan persoalan ke mana "hilangnya" Pengerusi Anak Mazlan Aliman yang kini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP).

"Isu Felda memerlukan politik solusi, bukan menuding jari kepada arah yang salah. Saya amat faham dengan semangat seorang pemuda yang cergas dan cerdas perlu digunakan sebaiknya agar ia tidak kelihatan gelojoh dan terburu-buru.

"Saya ucapkan terima kasih kepada ketua Pemuda Umno Pengerang atas keprihatinan dan ingatan yang diberikan. Inilah yang perlu dicontohi oleh semua ketua Pemuda Umno di kawasan Felda khasnya," kata Mazlan.

Menurutnya, selain masalah bebanan hutang yang sedang dibaiki Felda yang kini di bawah seliaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga sedang menyelesaikan kegagalan program Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) dan mengumumkan skim pendidikan bagi anak peneroka. 

Lihat Komen
ADS