Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maria: Tingkatkan kempen mansuh Sosma sebelum Mac

Usaha berterusan mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 harus dipertingkatkan sebelum Mac ini, kata Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Adbullah.

Ini kerana kata Maria, pindaan kepada akta berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan tersebut.

"Kita perlu meningkatkan kempen bagi mansuhkan akta Sosma dan kita tak boleh tunggu sehingga Mac depan, kerana bila Mac keputusan mungkin sudah dibuat oleh menteri dan barisan kabinet.

"Saya juga rasa kita perlu hantar memorandum atau buat satu kempen yang mana semua anggota parlimen dapat memo ini supaya mereka semua faham mengapa kita perlu mansuhkan Sosma dan ia perlu dibuat sebelum Mac ini," katanya.

Maria yang juga bekas tahanan akta Sosma berkata demikian dalam satu forum bertajuk Sosma: Siapa pengganas dan potensi salah guna kuasa di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan.

Buku PH tak kata nak mansuh

Mengulas lanjut, Maria turut menawarkan diri untuk bekerjasama dengan gabungan mansuhkan Sosma bagi merangka strategi untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan agar mereka menunaikan janji.

Bagaimanapun, peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan dalam forum yang sama mengingatkan orang ramai agar "berhati-hati" apabila mengatakan mereka mahu menuntut janji kerajaan PH dalam isu pemansuhan akta Sosma.

Kata Syahredzan, jika janji PH yang dituntut itu dibuat berdasarkan apa yang terdapat dalam Buku Harapan, kerajaan telah pun menunaikannya.

"Jadi, dalam buku Harapan itu sebenarnya dia tak kata dia nak mansuhkan Sosma. Ia (PH) cakap ia akan mansuhkan peruntukan-peruntukan zalim yang ada dalam akta Sosma.

"Jadi, berhati-hati sedikit bila kita nak tuntut janji ini, sebab mereka akan kata kalau betul ikut janji kita dah pinda peruntukan-peruntukan yang zalim dalam Sosma.

"Maknanya, mereka (PH) dah tunaikan janji itu, apa yang kita perlu tuntut bukan janji itu tetapi kita kena tuntut mansuhkan akta itu secara total," tegasnya.

Lihat Komen
ADS