Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ditanya soal 'ijazah palsu', Osman hanya senyum
Diterbitkan:  Feb 9, 2019 7:21 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Selepas Marzuki Yahya, seorang lagi pemimpin Bersatu berdepan dakwaan berkenaan ijazah yang dipegangnya.

Pengerusi Bersatu Johor yang juga menteri besar negeri itu Osman Sapian baru-baru ini didakwa berbohong memiliki ijazah perakaunan dari Universiti Putra Malaysia.

Ditanya berhubung dakwaan itu ketika ditemui media di program sambutan Tahun Baru Cina di Kulai hari ini, Berita Harian melaporkan beliau tidak menjawab soalan itu dan hanya tersenyum sebelum beredar.

Profil Osman di laman web rasmi kerajaan Johor menyatakan beliau mendapat diploma dan ijazah perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia (nama lama UPM) tetapi tidak menyatakan tahun pengajian.

Baru-baru ini, timbul dakwaan di media sosial mengatakan Osman tidak memiliki ijazah dari universiti itu.

Dakwaan itu menyertakan tangkap layar yang menunjukkan nama Osman tidak ditemui dalam carian di laman rasmi UPM.

Namun ia hanyalah carian umum dan bukan khusus berkenaan bekas penuntut universiti itu.

Sinar Harian pula melaporkan UPM akan membuat semakan sama ada Osman merupakan graduan universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan dilaporkan berkata, UPM tiada diploma perakaunan tetapi Osman mungkin mengikuti program lain di fakulti ekonomi universiti itu.

Marzuki yang juga setiausaha agung Bersatu semalam menunjukkan transkrip akademik dan ijazahnya daripada Cambridge International University (CIU) Amerika Syarikat, selepas dilanda kritikan pelbagai pihak.

Namun transkrip tersebut ada kejanggalan, apabila semakan Malaysiakini mendapati gred di transkripnya serupa dengan transkrip contoh (template) di laman CIU.

CIU juga didakwa sebagai 'kilang pengeluar sijil'.

Lihat Komen
ADS