Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi DAP Perak pertahan ijazah Adun Tronoh

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mempertahankan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didakwa memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat yang diragui.

Kata Nga, isu yang ditimbulkan oleh Presiden MCA disifatkan sebagai ketandusan idea politik kerana Yong yang juga bendahari parti itu sememangnya memperoleh MBA secara sah menerusi lulus peperiksaan, cumanya ketika itu universiti berkenaan belum mendapat pengiktirafan secara rasmi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Wee Ka Siong bankrap idea dan sebab itulah dia ungkitkan perkara yang tidak benar. Dia patut minta maaf apabila mengeluarkan tohmahan mengatakan ahli exco itu miliki ijazah sarjana palsu.

“Kita tahu banyak universiti tersohor di dunia ini termasuk dari Taiwan dan China yang memang berkelayakan, tapi tidak ada pengiktirafan daripada MQA,” katanya kepada Bernama.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang diadakan di perkarangan Menara Condong Teluk Intan, Perak semalam.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, inisiatif menyambung belajar demi meningkatkan diri yang ditunjukkan Yong ketika itu sebagai ahli perniagaan sebelum beralih menjadi wakil rakyat adalah terpuji kerana beliau melakukannya ketika itu bukannya untuk kepentingan politik.

Sebelum ini, Yong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru antara beberapa nama pemimpin Pakatan Harapan terpalit isu dakwaan memiliki ijazah palsu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS