Anggota keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berharap tiada apa-apa yang cuba disembunyikan dalam inkues berhubung kematian anggota bomba berkenaan yang akan bermula esok.

Muhammad Adib, 24, merupakan anggota bomba yang cedera ketika rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov, sebelum meninggal dunia pada 17 Dis lalu.

Ayah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata keluarganya berharap dapat mengetahui perkara sebenar di sebalik insiden yang menyebabkan anaknya terkorban.

"Kami harap dapat kebenaran di sebalik kejadian.

"Kami harap tiada apa-apa yang disembunyikan dan pihak yang bertanggungjawab atas kematian anak saya akan dibawa ke muka keadilan," katanya dipetik The Malaysian Insight.

Tambah Mohd Kassim, dia tidak dapat hadir pada pringkat awal inkues itu dan akan digantikan oleh abang Muhammad Adib.

"Belum masanya lagi saya datang ke inkues itu. Tapi apapun, kami sekeluarga hanya mahukan kebenaran.

"Kami berdoa agar inkues ini berjalan dengan lancar, dan sudah tentu sebagai bapa, saya sedih (dengan kematian Muhammad Adib), tapi kami cuba cekalkan hati," katanya.

Inkues berkenaan ditetapkan untuk berlangsung pada 11 Feb hingga 28 Mac di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Isnin lalu, pihak kuil Sri Maha Mariamman memfailkan permohonan semakan kehakiman selepas Mahkamah Koroner tidak membenarkan mereka sebagai pihak berkepentingan dalam inkues.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi, yang menyatakan pihak kuil tidak mempunyai kepentingan dalam kes berkenaan.

[Baca berita asal]