'Pembangkang prejudis isu peruntukan kolej swasta'
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan Lutfi Hakim menyifatkan pemimpin pembangkang bersifat dwistandard dan prejudis dalam menanggapi usaha kerajaan memberi bantuan kepada institusi pendidikan.
Lutfi berkata demikian sebagai merujuk kritikan pemimpin PAS dan Umno terhadap pemberian RM2 juta kepada Southern University College.
Anehnya, kata Lutfi, pemimpin MCA mempertikaikan jumlah peruntukan kepada kolej universiti swasta bukan untuk keuntungan itu sebagai terlalu kecil.
"Jelas sekali, tindakan memilih untuk hanya mempertikaikan peruntukan RM2 juta kepada Southern University College adalah disebabkan oleh permainan sentimen yang prejudis, sempit dan tidak sihat yang berlawanan dengan dasar pendidikan yang inklusif," katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan pada Dis lalu mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk Southern University College di Skudai, New Era University College di Kajang, dan Han Chiang University College of Communication di Georgetown.
"Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menjelaskan berulang kali bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba memberikan bantuan secara inklusif kepada semua jenis sekolah yang berdaftar dan bebas dari pengaruh parti politik, mengikut kemampuan kewangan semasa.
"Inilah sebabnya pihak Kementerian Kewangan telah luluskan RM15 juta secara terus kepada Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah institusi pengajian tinggi swasta bukan untuk keuntungan yang bertapak di Cyberjaya.
"Pemberian ini pula tidak dipertikaikan oleh pemimpin pembangkang PAS dan Umno," tambah Lufti sambil menyorot peruntukan RM25 juta untuk sekolah pondok dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan Kementerian Kewangan.
Menurut Lutfi lagi, sekiranya peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) milik MCA dikembalikan apabila MCA melepaskan pegangan milik di dalam institusi tersebut, ia juga akan dipertikaikan mengikut permainan sentimen prejudis dan sempit ini.
Lutfi berkata peruntukan kepada KUTAR dikurangkan sebanyak RM24.5 juta dalam Belanjawan 2019 berbanding dengan Belanjawan 2018 untuk memastikan pemisahan parti politik dari pendidikan.
"Menteri Kewangan telah nyatakan bahawa RM24.5 juta ini hanya akan dikembalikan sekiranya institusi ini tidak lagi dimiliki oleh MCA," katanya menambah bahawa peruntukan untuk hal ehwal agama Islam dinaikkan sebanyak RM100 juta daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion dalam Belanjawan 2019.

