Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman keluar BN: Wakil rakyat Sabah mahu tunggu dan lihat

Kumpulan wakil rakyat Sabah yang meninggalkan BN Disember lalu mengambil pendirian untuk menunggu dan melihat dulu berhubung saman yang akan dikeluarkan oleh Umno terhadap mereka sebelum mengambil  reaksi susulan.

Anggota Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun yang merupakan salah seorang wakil rakyat berkenaan berkata pihaknya mahu melihat dahulu bentuk saman yang dikeluarkan sama ada mempunyai unsur menakutkan atau ugutan.

“Terpulang pada dialah nak saman, nak tengok apa dia punya asas, locus standi… kita tengoklah macam mana.

“(Kami) nak tegok kenyataan dia. Tak tahulah dia nak takutkan, atau tekan. Kita tak tahu apa dalam pemikiran Tan Sri (Annuar Musa),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Azizah berkata demikian mengulas saman yang bakal dikeluarkan Umno terhadap bekas anggota parti itu di Sabah yang bertanding atas tiket BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata tindakan undang-undang itu bakal diambil terhadap ahli parimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanding dalam PRU lepas.

Pada 12 Disember tahun lepas, lima anggota parlimen termasuk Azizah, sembilan Adun dan dua senator, termasuk Pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar Umno.

Azizah turut berkata, pihaknya belum membuat keputusan berhubung tindakan yang akan diambil.

“Mana boleh macam tu (kembali pada Umno kerana bakal saman), keputusan bukan benda yang dibuat secara individu, kita bukan budak-budak jadi kita dalam satu pasukan.

“Kita ada pasukan dan kita follow (ikut) keputusan berpasukan kita. Kita tak tahu lagi, itu kenyataan Annuar dan itu hak dia buat kenyataan,” katanya.

Bagi Adun Karanaan Masidi Manjun pula, beliau menyifatkan Umno mempunyai hak untuk mengeluarkan saman tersebut.

Masidi juga berkata beliau ketika ini berpuas hati menjadi wakil rakyat bebas kerana mempunyai ramai kawan.

“Saya tengah seronok, belum terfikir nak sertai mana-mana parti. Ya, (saya kini) bebas dan ramai kawan,” katanya sambil ketawa.

Ditanya adakah mereka mempertimbangkan semula untuk kembali kepada Umno selepas bakal berhadapan dengan saman tersebut, Masidi berkata:

“Tak ada, kita keluar atas sebab-sebab kita (sendiri), apa alasannya yang kita harus balik. Tak ada (alasan). Saya tak nampak ada apa-apa alasan untuk balik (pada Umno),” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas bekas wakil rakyat Umno Sabah yang lain berhubung perkara itu.

Lihat Komen
ADS