Pemaju perlu pastikan projek tak bawa masalah pada penduduk - Exco
Pihak pemaju perlu menjalinkan kerjasama baik khususnya dengan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan setiap pembangunan atau projek yang dilaksanakan tidak membawa masalah kepada masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar berkata sebarang implikasi selepas sesuatu pembangunan dijalankan seharusnya diatasi dari peringkat awal.
“Setiap isu atau masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik sekiranya mempunyai kerjasama baik dengan pihak Kerajaan Negeri seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seumpama.
"Contohnya, kawasan Nilai ini lokasi strategik yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta lebuhraya Plus dan LEKAS, pembangunan di kawasan ini juga agak pesat dan sudah tentu kita kena pastikan setiap pembangunan yang dijalankan memerlukan kajian sebelum ia dilaksanakan termasuk kajian berkaitan Traffic Impact Analysis' (TIA),” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina GD Holding Bersama Komuniti Nilai di Nilai, semalam.
Arul berkata, pihak pemaju tidak terkecuali untuk melakukan kajian seperti ini sebagai contoh selepas pembukaan sebuah pusat membeli-belah di Nilai ini didapati terdapat masalah kesesakan lalu lintas.
“Dalam isu ini, pihak PBT ada meminta pemaju (GD Holding) untuk membuat satu lagi kajian dipanggil 'Traffic Impact Analysis' (TIA) termasuk merangka satu perancangan dengan memberi beberapa cadangan untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas ini," katanya
Dalam perkembangan lain, Arul yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata ‘Hari Tanpa Kenderaan’ mungkin mengambil masa untuk melihat kesan dari pelaksanaan program berkenaan.
“Program ini mendapat reaksi positif daripada penduduk Nilai dan setakat ini tiada sebarang aduan yang diterima sepanjang program itu berjalan dan adalah satu daripada didikan kepada orang awam supaya mengurangkan penggunaan kenderaan bagi memastikan alam sekitar terpelihara.
"Jika ia terus mendapat perkembangan positif mungkin kita akan laksanakan seminggu sekali serta penambahan di beberapa kawasan lain di Nilai," katanya.
Program itu telah dilaksanakan bermula 3 Feb lepas pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan dalam tempoh dua jam mulai pukul 7.00 pagi di sekitar Dataran Nilai sehingga Jalan BBN 1/3 sepanjang 1.5 kilometer.
- Bernama

