Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CJ serah afidavit balasan kes saman anak Karpal Singh

Peguam Persekutuan hari ini memfailkan afidavit balasan terhadap saman pemula anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia berhubung dakwaan campur tangan terbuka badan kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan melibatkan mendiang Karpal Singh dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Serahan afidavit itu dilakukan bagi pihak Ketua Hakim Negara Richard Malanjum.

Justeru, Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menetapkan 25 Feb ini bagi balasan semula afidavit tersebut.

“Hari ini saya terima afidavit balasan daripada responden, jadi saya diarahkan untuk memfailkan balasan semula pada 25 hb ini,” kata Sangeet kepada Malaysiakini.

Pada 14 Jan lepas, Sangeet yang juga peguam, memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara (CJ) gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal dan juga kes guru tadika M Indira Ghandi.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal atas talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Ghandi dan perkara tersebut diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa pada 16 Ogos 2018.

Lihat Komen
ADS