Malaysiakini BERITA

Saman Umno untuk dapatkan RM116 juta diputuskan 15 Mac

Hariz Mohd  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan berhubung permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Umno pada 15 Mac ini.

Saman itu sebelum ini bertujuan menuntut semula RM116.7 juta yang dirampas polis semasa melakukan serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar permohonan dan hujah daripada peguam mewakili kedua-dua pihak plaintif dan defenden di kamarnya.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy, yang mewakili kerajaan, polis dan tiga defenden lain dalam kes tersebut, berkata permohonan untuk membatalkan tuntutan Umno dibuat berdasarkan hujah bahawa parti itu tidak mempunyai lokus standi, kerana mereka mencabar waran geledah polis ketika serbuan.

"Mereka (Umno) tidak mempunyai locus standi kerana mereka mencabar waran tangkap.

"Dan hujah kedua adalah kita harus tunggu sehingga siasatan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram) selesai, kerena wang itu dirampas di bawah peruntukan Amla.

"Oleh itu, terdapat peruntukan yang mengatakan anda tidak boleh mengekalkan saman sementara menunggu siasatan selama 12 bulan, jadi 12 bulan akan tamat pada Mei," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, peguam utama yang mewakili Umno, Hariharan Tara Singh berkata pendengaran permohonan itu mengambil masa kira-kira setengah jam.

"Hakim menetapkan 15 Mac ini pukul 10 pagi untuk menyampaikan keputusannya," katanya.

Hariharan bagaimanapun enggan mengulas mengenai hujah plaintif dalam membatalkan permohonan pendengaran.

"Apa yang saya boleh katakan ialah kita yakin, itu sahaja."

Pada September tahun lepas, Umno memfailkan saman untuk menuntut wang berkenaan yang mereka dakwa milik parti itu.

Saman itu menamakan lima defendan iaitu kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Fuzi Mohd Harun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Amar Singh Ishar Singh, pegawai polis yang mengetuai operasi untuk merampas wang tersebut, Mohd. Sakri Arifin dan individu bernama Rajagopal Ramadhasas.

Pada 27 Jun tahun lepas, Amar mengumumkan polis telah merampas barangan yang dianggarkan bernilai antara RM910 juta dan RM1.1 bilion dalam serbuan ke atas kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Rampasan itu termasuk RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang berbeza, serta pelbagai barang berharga termasuk barang kemas, beg tangan mewah, cermin mata hitam dan jam tangan.