Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak lelaki tunggal menteri S'wak meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Andrew Wong Kee Yew, bekas timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu dan anak lelaki tunggal Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Wong Soon Koh, meninggal dunia di rumahnya di Jalan Ipoh di Sibu malam tadi.

Kee Yew, 42, dijumpai tidak sedarkan diri di atas lantai di bilik persalinan di dalam bilik tidurnya oleh ibunya, Leong Poh Lin.

Beliau dipercayai mengalami serangan angin ahmar, bagaimanapun Ketua Polis Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata autopsi akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kita perlu menunggu laporan daripada pakar patologi. Kami tidak tahu bila mereka akan menjalankan autopsi, tetapi saya berada di sini malam tadi dan siasatan awal kami tidak menemui sebarang perkara yang meragukan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata Stanley.

Beliau ditemui pemberita di kediaman Wong di Sibu hari ini. Turut hadir Soon Koh dan Leong.

“Ia sungguh menyedihkan. Semalam kami sama-sama bergambar dan meraikan Tahun Baru Cina,” kata Leong, dan meminta pihak media serta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di samping memberi mereka privasi.

Rawatan darah tinggi

Beliau mengesahkan anak lelaki mereka itu menghidap darah tinggi dan sedang menjalani rawatan.

Petang semalam, Leong memanggil Kee Yew untuk sama-sama makan malam tetapi apabila beliau tidak muncul, Leong beranggapan anak lelakinya itu mahu berehat akibat keletihan selepas perjalanan menggunakan jet ski pergi balik ke sebuah rumah panjang di Nanga Tutus, Batang Igan.

Pada kira-kira 9 malam, beberapa orang rakan Kee Yew datang ke rumah, dan memberitahu bahawa Kee Yew meminta mereka datang untuk sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina.

Leong pergi mencarinya di bilik tidur namun mendapati beliau tiada di sana.

Beliau kemudian memeriksa bilik persalinan, yang berkeadaan gelap, dan mendapati anaknya itu terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai, dan segera memanggil pegawai perubatan dari dua buah hospital swasta di sini.

“Mereka datang dan cuba memulihkannya sekitar satu setengah jam hingga dua jam. Pada 11 malam, mereka cakap…...,” kata Leong, yang sebak dan tidak dapat menahan kesedihan.

Seronok ke rumah panjang

Soon Koh berkata Kee Yew keluar rumah pada 7 pagi bersama-sama sekumpulan peminat kenderaan 4x4 dan mereka berlepas ke Rumah Ukah di Nanga Tutus dengan menaiki jet ski.

Katanya perjalanan pergi balik dari Sibu ke rumah panjang itu mengambil masa dua jam.

“Dia cukup seronok berada bersama-sama penduduk di rumah panjang, dan sudah tentulah dia sangat letih.

“Dia balik ke rumah dan terus masuk ke biliknya untuk berehat. Saya sangkakan dia keletihan. Selalunya, kalau dia menunggang jet ski, dia perlu cukup tidur.

“Saya mesti menyatakan, hidup perlu diteruskan. Saya dan isteri akan terus tabah. Anak saya meninggal sebagai seorang yang dihormati. Dia pergi ke rumah panjang, beramah mesra bersama-sama penduduk di rumah panjang dan dia sangat rapat dengan mereka,” katanya.

Leong berkata anak lelakinya itu seorang yang baik hati dan sentiasa bersedia untuk menolong orang miskin dan yang memerlukan.

Kee Yew bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lepas sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Sibu. Beliau memperoleh 22,389 undi tetapi kalah kepada penyandang, Oscar Ling daripada DAP, yang meraih 33,811 undi dalam pertandingan empat penjuru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS