Malaysiakini BERITA

Tak mustahil Umno letak calon luar di Semenyih

Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SEMENYIH | Pemuda Umno Selangor tidak menolak kemungkinan parti itu akan menggunakan formula Cameron Highlands dengan meletakkan "calon luar" bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac nanti.

Namun Ketuanya, Rizam Ismail, berkata paling penting calon berkenaan mestilah dapat diterima rakyat dan mampu membawa kemenangan kepada BN.

"Tidak mustahil calon luar akan diletakkan, tetapi apa pun kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

"Siapa saja yang dicalonkan kita akan sokong, paling penting calon yang diterima oleh rakyat.

"Jadi, kita serahkan pada pucuk pimpinan parti Tok Mat (Presiden Umno Mohamad Hasan) untuk menentukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

BN memecahkan tradisinya apabila meletakkan calon bukan daripada parti itu bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands 26 Januari lalu.

Umno yang bertanding di kerusi tradisi MIC meletakkan bekas pegawai kanan polis dari masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Noor.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Ramli berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, M Manogaran.

Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan M Manogaran yang memperoleh 8,800 undi

Dua calon Bebas, Sallehuddin AbTalib dan Wong Seng Yee hilang wang deposit apabila masing-masing mendapat 314 undi  dan 276 undi.

Sementara itu Rizam berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama untuk dipertimbangkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan parti.

"Kita serah segalanya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan," katanya.