Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM tak terlalu gembira prestasi kabinet PH - Kadir Jasin

ULASAN | Langkah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi mempunyai matlamat tersurat dan tersirat.

Yang tersurat adalah Dr Mahathir memerlukan sebuah badan khas bagi meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal-hal penting dan segera mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Yang tersirat adalah perdana menteri secara langsung mengakui bahawa jentera yang sedia ada, khususnya kabinet, tidak memadai bagi menangani isu-isu yang disebutkan itu.

Kita tidak perlulah berpura-pura kerana hendak menjaga hati sesiapa atau mana-mana pihak.

Realitinya adalah selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.

Serentak dengan itu, ekonomi dan kewangan negara terus dicabar oleh legasi kerosakan yang ditinggalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kini ditambah pula oleh suasana ekonomi antarabangsa yang semakin meruncing akibat perang dagang China-Amerika.

Empat tujuan utama

Mengikut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan semalam, majlis yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri itu mempunyai empat tujuan utama.

Pertama, merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Kedua, memastikan pertumbuhan yang mampan dan lestari. Ketiga, menjamin pengagihan kekayaan yang saksama dan keempat, meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

“Ia juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” kata kenyataan JPM itu.

Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota kabinet dan perkhidmatan awam.

Menteri disambut macam raja

Saya rasa ramai orang tahu bahawa perdana menteri sendiri tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota kabinet.

Boleh kata setiap kali beliau bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri, menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto (selfie) dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi.

Saya melihat dengan mata kepala sendiri menteri yang disambut macam raja oleh pegawai sendiri dan dikawal amat rapi oleh polis apabila turun padang sehingga susah untuk rakyat jelata menghampiri mereka.

Kalau setakat hendak disambut dan makan bersama pegawai kanan dari ibu pejabat tak payahlah susah-susah ke luar bandar atau ke rancangan Felda.

Apabila ke luar bandar, ke rancangan Felda, Felcra atau kampung nelayan duduklah dengan orang kampung, peneroka, pekebun kecil, nelayan dan peniaga.

Kurangkanlah atau berhenti berswafoto dengan kakitangan sendiri dan membuat tampalan Facebook, Twitter atau Instagram yang remeh-temeh.

Tolong kawal anak bini

Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlo.

Tolong beringat bahawa media sosial yang membantu kemenangan PH akan menjatuhkan PH kalau menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri buat kerja tidak senonoh, tidak cekap dan tidak mesra rakyat.

Amat tidak bertanggungjawab dan amat dangkal mengharapkan perdana menteri menyelesai dan membersihkan semua “najis” yang dibuat oleh menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.

Baliklah selalu ke kawasan atau ke negeri dan kurangkanlah sikit tabiat tidak berada di kawasan supaya tidaklah dituduh malas atau curi tulang.

Ingatlah, dengan adanya media sosial rakyat jelata menjadi 'pemberita'.

Berikut adalah senarai anggota Majlis Tindakan Ekonomi:

Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi)

Azmin Ali – Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Lim Guan Eng – Menteri Kewangan

Ignatius Darell Leiking – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Baru Bian – Menteri Kerja Raya

Dr Muhammed Abdul Khalid – Penasihat Ekonomi Perdana Menteri

Rafidah Aziz – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Zeti Akhtar Aziz – Pengerusi Permodalan Nasional Berhad

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram – Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)

Tay Ah Lek – Pengarah Urusan Public Bank

Dr Hasnita Hashim – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat

Shireen Ann Zaharah binti Muhiudeen – Pengerusi Bursa Malaysia

Dr Mohd Munir Abdul Majid – Pengerusi Asean Business Advisory Council, Malaysia

Dr Paul Selvaraj – Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah – Peguam

Nizam Mahshar – Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Ubah k'jaan jika harapan tak dipenuhi

Menurut kenyataan JPM, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta manakala Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat.

Dari kaca mata rakyat jelata, ujian sama ada kerajaan PH lulus atau gagal mudah sahaja – keselamatan, kos sara hidup dan pekerjaan.

Maaf cakaplah kalau saya kata, tak guna kita bercakap mengenai hal-hal yang tinggi melangit kalau perkara-perkara asas seperti harga dan bekalan makanan, pengangguran, pengangkutan, pelajaran, kesihatan dan perumahan rakyat jelata tidak ditangani dengan lebih baik daripada ketika kerajaan dahulu.

Rakyat jelata sudah merasa perubahan kerajaan. Mereka akan mengubah kerajaan jika harapan mereka tidak dipenuhi.


A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS