Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Terengganu akan lantik ketua pembangkang baru

Umno Terengganu akan mengetengahkan anggota dewan undangan negeri (Adun) lain bagi menggantikan posisi Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai ketua pembangkang DUN.

Pengerusi Umno negeri, Ahmad Said berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu surat pengesahan daripada Pejabat DUN Terengganu susulan peletakan jawatan Ahmad Razif itu.

"Pertama sekali kita tunggu dulu surat rasmi daripada Yang Di-Pertua DUN agar kita melantik seorang ketua pembangkang baru.

"Selepas itu kita akan berbincang dengan wakil-wakil rakyat Umno untuk melantik ketua pembangkang baru bagi mengisi kekosongan jawatan itu," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan Ahmad Razif yang juga bekas menteri besar Terengganu melepaskan jawatan itu.

Beliau dipercayai berbuat demikian bagi memberi laluan kepada Ahmad yang juga Adun Kijal memegang jawatan itu susulan pelantikannya sebagai pengerusi Umno Terengganu, bulan lalu.

Ahmad Razif dilantik sebagai ketua pembangkang pada 1 Julai 2018.

Beliau menjadi menteri besar Terengganu sejak 2014 hingga Mei 2018, apabila PAS menang di Terengganu pada PRU ke-14 (PRU14).

Ahmad pula memimpin negeri itu sejak 2008 hingga 2014.

Sementara itu ditanya mengenai alasan Ahmad Razif meletakkan jawatan itu, Ahmad Said bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sebagai rekod, Umno memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU14, manakala PAS mengungguli 22 kerusi untuk mentadbir negeri itu. 

Lihat Komen
ADS