Mahkamah Switzerland telah mengarahkan kumpulan hartanah Sakto Corporation milik, usahawan Malaysia-Kanada, Jamilah Taib Murray dan suaminya, Sean Murray, untuk membayar ganti rugi 166,000 Swiss franc (RM673,960) kepada Bruno Manser Fund.

NGO yang diasasakan di Basel dan dinamakan sempena pejuang hutan hujan khatulistiwa Switzerland Bruno Manser, terbabit dalam perlindungan hutan dan hak-hak penduduk pribumi di Borneo, khususnya di Sarawak, Malaysia.

Jamilah Taib Murray adalah anak perempuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, yang pernah menjadi ketua menteri bermula dari 1981 hingga 2014.

Pada bulan Ogos 2017, Jamilah, Murray dan Sakto Corporation menyaman Bruno Manser Fund atas dakwaan memfitnah mereka.

Mereka memfailkan injunksi untuk mengharamkan 255 penerbitan oleh kumpulan itu, termasuk buku '‘Money Logging’oleh tokoh sejarawan Switzerland Lukas Straumann, yang juga pengarah eksekutif Bruno Manser Fund.

Walau bagaimanapun, pada 8 Februari lalu, sebuah mahkamah sivil di Basel menolak permohonan itu dan memerintahkan plaintif membayar 166,000 Swiss franc sebagai ganti rugi manakala 20,000 Swiss franc (RM81,200) lagi sebagai dalam kos mahkamah.

Gambar Hiasan: Bruno Manser

"Kami alu-alukan keputusan ini, yang memberi kami semangat untuk terus berjuang memerangi rasuah dan pengubahan wang haram oleh pemerintah di Malaysia itu," kata Straumann.

"Pemusnahan hutan hujan khatulistiwa Borneo hanya boleh dihentikan jika kita menangani gejala rasuah politik."

Bruno Manser adalah aktivis alam sekitar yang pertama tinggal bersama suku kaum Penan di Sarawak pada tahun 1984. Dia hilang pada Mei 2000 dan diisytiharkan meninggal dunia secara sah oleh mahkamah Switzerland pada bulan Mac 2005.

Bruno Manser Fund mendakwa Jamilah dan kumpulan hartanah suaminya, yang ditubuhkan pada tahun 1983, menguasai lebih daripada RM1 bilion aset hartanah di Kanada, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Usaha Bruno Manser Fund untuk menyaman kumpulan perniagaan melalui pendakwaan swasta gagal pada Februari 2018 apabila sebuah mahkamah di Toronto enggan membenarkan NGO itu melihat rekod kewangan Sakto.

[Baca berita penuh]